PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) telah mengagihkan dana wakalah zakat berjumlah RM367,168 kepada 16 masjid dan 400 penerima individu di seluruh negara.
Program agihan itu mensasarkan golongan anak yatim dan ibu tunggal dalam kalangan fakir dan miskin, selain institusi masjid dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bawah kategori asnaf fisabilillah.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, agihan zakat itu disampaikan sendiri oleh Anggota Lembaga CBP menerusi majlis serahan zakat yang diadakan di masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Katanya, program agihan itu juga membuktikan kesungguhan CBP dalam memartabatkan masjid sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan, selain menzahirkan keprihatinan terhadap golongan ibu tunggal, anak yatim serta pelajar IPT.
“Ini merupakan tanggungjawab CBP untuk membantu golongan yang memerlukan yang secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dengan bantuan zakat yang diberikan.
“Program ini juga merupakan langkah untuk CBP merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat yang telah banyak membantu dan menyokong kita selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Agihan wakalah zakat itu dilakukan di Perlis, Kedah, Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.
Menurut Khairil Anuar, selain daripada agihan wakalah zakat, CBP juga terus komited membantu masyarakat menerusi pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan. – UTUSAN