REMBAU: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berjumpa dengan Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas terdapat cadangan untuk bekas Ketua Polis Negara itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mewakili gabungan itu.
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, perjumpaan tersebut jika berlaku perlu dilakukan sebelum 2 November ini iaitu tarikh GTA akan mengadakan pengumuman calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum mendatang.
“Kami mendengar (cadangan Abdul Hamid sebagai calon) tetapi belum memutuskan apa-apa lagi, kita ada masa sehingga 2 hari bulan (November) untuk menentukan calon-calon kita. Di waktu ini ramai berminat, ada juga yang tidak bersedia tetapi kita kena timbang kualiti mereka, kalau mereka terlibat dengan bankruptcy (kebankrapan) tidak boleh la.
“Waktu ini belum jumpa (Abdul Hamid) saya kena jumpa dengan dia sebelum 2 hari bulan, akan jumpa kalau saya boleh dapat dia.
“Kita nak cari calon yang terbaik mungkin, kebanyakan calon-calon kita tidak terlibat dengan jenayah, bersih dan saya harap itu diambil kira oleh pengundi-pengundi apabila mereka mengundi, iaitu pilih calon yang bersih dan bukannya calon yang kita tahu menggunakan wang ataupun terlibat dengan kegiatan jenayah,” katanya.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan GTA Negeri Sembilan Bersama Negarawan di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Pejuang dan Presiden Berjasa yang merupakan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan supaya Abdul Hamid Bador dijadikan calon mewakili GTA pada PRU15 di Parlimen Rembau.
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, pihaknya ada membawa cadangan tersebut namun hanya Dr. Mahathir yang dilihat boleh ‘memujuk’ Abdul Hamid.
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Mukhriz berkata, sekiranya cadangan tersebut menjadi realiti, Abdul Hamid berpotensi menjadi giant killer pada PRU15 nanti.
“Kita tahu, Tan Sri Abdul Hamid seorang yang sangat profesional, kewibawaannya tidak boleh disangkal mana-mana pihak, hubungan beliau dengan ayahanda Tun (Mahathir) juga sangat rapat.
“Memang pun kami meminta untuk Tun bercakap dengan beliau jadi terserah kepada Tun dan lihat apa kesudahannya. Kalau jadi, saya ingat itu berpotensi untuk menjadi giant killer,” katanya.
Di Parlimen Rembau untuk PRU15, Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu manakala Pakatan Harapan (PH) akan mempertaruh tokoh belia, Jufitri Joha.
Mukhriz menambah, jumlah kerusi Parlimen keseluruhan yang akan ditandingi oleh GTA di Negeri Sembilan pada PRU15 hanya akan ditentukan pada 2 November ini.
Beliau berkata, walaupun perkara itu belum diputuskan lagi, namun beliau yakin gabungan parti itu yang turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu menambat hati rakyat negeri ini.
“Kami faham, akan menghadapi saingan yang sengit dengan parti-parti yang sudah lama bertapak, tidak pula kata tawaran kami untuk bertanding di Negeri Sembilan ini akan berhadapan dengan jalan yang mudah tetapi kami bersemangat tinggi untuk berusaha sedaya yang boleh untuk menambat hari rakyat di Negeri Sembilan.
“Kami berbincang hal ini dan kami belum putuskan, sama ada akan menawarkan calon di kesemua kelapan-lapan kerusi, insya-Allah akan buat pengumuman itu pada majlis pengenalan calon pada 2 November ini,” katanya. – UTUSAN