PETALING JAYA: Semua calon Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama selain berbaiah dan bersumpah dengan nama Allah SWT.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berbaiah itu sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.
“Pas berusaha memenuhi syarat-syarat dengan menapis semua nama calon-calon yang dicadangkan bertanding dalam pilihan raya. Setiap daripada mereka wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama.
“Kemudian dilakukan baiah (janji setia) dan sumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurut Abdul Hadi, Pas pernah menubuhkan satu Jabatan Hisbah diketuai Allahyarham Tun Mohamed Salleh Abas dan membuat persediaan untuk memperkasa undang-undang syariat Islam.
“Akan tetapi, usaha tersebut dihalang oleh bidang kuasa kerajaan negeri yang terbatas dan bidang kuasa kerajaan Pusat yang membatalkannya. Maka, tujuan Pas bagi mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil terhalang ketika itu.
“Namun sehingga kini, Pas telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah, apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Termasuk mengemudi beberapa kementerian yang ditugaskan kepada Pas mulai tahun 1974 hingga 1978 ketika menyertai kerajaan campuran pada era Almarhum Tun Abdul Razak dahulu, dan terkini dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Selain itu katanya, semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka bebas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, keadaan ini sangat berbeza dengan kerajaan PH di beberapa negeri dan peringkat pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.
“Dalam Barisan Nasional (BN) juga, ada yang telah dihukum, dituduh dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka sepertimana PH.
“PN yang disertai oleh Pas belum terbukti adanya mereka yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN