Buku Mat Kilau laris di Pesta Buku Melaka

Buku Mat Kilau laris di Pesta Buku Melaka

ABDUL LATIP Talib menunjukkan dua judul bukunya yang paling laris pada Pesta Buku Melaka 2022 iaitu Mat Kilau dan Enrique Melaka yang berharga RM40 sebuah. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan bukan sahaja memberi impak kepada industri perfileman, malah tempiasnya turut dirasai penerbit buku yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Pahang itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penerbit dan penulis buku, Abdul Latip Talib, 68, berkata, sambutan terhadap buku Mat Kilau sangat menggalak­kan selepas orang ramai mula mencarinya setelah menonton filem berkenaan.

“Kali pertama buku ini diterbitkan adalah pada 2009, tetapi ketika itu sambutannya tidak seperti sekarang. Selepas itu saya terbitkan semula kali ke­dua dan kebetulan serentak dengan tayangan filem Mat Kilau.

“Buku saya laris sebab orang ramai hendak baca buku selepas tengok filem tersebut.

“Sudah lebih 20 buku Mat Kilau terjual setakat hari ketiga Pesta Buku Melaka 2022. Saya hanya bawa 100 buku Mat Kilau dan berharap ia akan habis dijual,” katanya ketika ditemui.

Pesta Buku Melaka 2022 yang berakhir 2 Oktober lalu disertai 32 penerbit buku dengan pelbagai genre seperti komik, bacaan ilmiah, sejarah, agama dan pendidikan awal kanak-kanak.

Tambah Abdul Latip, selain Mat Kilau, buku Enrique Melaka turut mendapat sambutan peminat-peminat buku.

Katanya, orang ramai tertarik untuk mengenali siapakah gerangan Enrique Melaka setelah dimaklumkan bahawa tokoh berkenaan adalah pelayar berbangsa Melayu dan manusia pertama yang berlayar mengelilingi dunia.

“Saya terangkan kepada peminat buku bahawa Ferdinand Magellan bukan orang pertama yang mengelilingi dunia tetapi Enrique Melaka. Selepas itu timbul minat mereka untuk mengetahui siapa sebenarnya Enrique.

“Saya menghasilkan buku sejarah dalam bentuk novel agar pembaca lebih mudah memahami jalan cerita. Mereka kata seronok baca kerana ada dialog, suasana dan mudah dihayati,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya