BN perlu menang besar, jadi dominan bentuk kerajaan

Barisan Nasional perlu menang besar, jadi dominan bentuk kerajaan

ISMAIL SABRI Yaakob (depan, kanan) beramah mesra dengan perwakilan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Konvensyen Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Barisan Nasional (BN) perlu menang besar dan menjadi parti dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya tidak bergantung kepada sokongan parti lain untuk membentuk kerajaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa kebergantungan kepada sokongan pihak lain tidak mampu menjamin kepada kestabilan politik negara dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

Akhirnya beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa, justeru Seri Paduka tidak mempunyai pilihan selain memperkenan permintaannya bagi memulangkan mandat rakyat memilih kerajaan yang stabil.

“Oleh kerana Parlimen telah bubar, maka di tangan kita semua untuk memastikan Barisan Nasional boleh menguasai Putrajaya semula dan kita di Bera wajib sumbangkan satu kerusi Parlimen.

“Jadi kali ini (PRU15), kita kena jadi dominan. Yang terbaik jangan kita mengharapkan orang lain tapi kita yang menentukan hala tuju negara. 

“Sebab itu kita kena menang kali ini, kita kena bentuk kerajaan walaupun tidak dapat dua pertiga, bila kita menjadi dominan mudah kita membuat keputusan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini hari ini. 

Ismail Sabri berkata, kerajaan yang stabil diperlukan kerana kemakmuran negara bergantung kepadanya.

“Peringkat awal dulu, semasa saya menjawat jawatan Perdana Menteri suasana politik negara tidak stabil sehingga ia mampu distabilkan dan kita dapat memulihkan ekonomi. 

“Tapi akhir-akhir menjelang pilihan raya (PRU15), kita nampak parti-parti temasuk dalam gabungan kerajaan (Keluarga Malaysia)  ada agenda masing-masing. Terdapat kritikan secara terbuka dan saya boleh bayangkan kalau lebih lama, lagi banyak asakan dan saya tidak boleh takbir kerajaan dengan sempurna,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila kerajaan dibentuk selepas PRU15, tiada lagi kebimbangan wakil rakyat akan lompat parti.

Ini kerana, kata beliau, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 tentang peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti telah pun diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Beliau dalam pada itu hairan pembangkang tidak bersetuju dan marah apabila Parlimen dibubarkan kerana selama ini mereka meragui keabsahan kerajaan. 

“Selama ini juga pembangkang persoal dan tuduh kerajaan yang ada sebagai kerajaan tebuk atap dan pintu belakang. Jadi bila kita bubar, mereka sepatutnya sokong mandat kembali diserahkan kepada rakyat. Patut mereka tepuk tangan lebih awal,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya