BN Perak sedia lawan gergasi politik

BN Perak sedia lawan gergasi politik

SAARANI Mohamad (empat dari kiri) diberi penerangan mengenai keperluan penduduk Kampung Chengai pada program ramah mesra sempena Hari Deepavali di Sungkai dekat Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) Perak tidak gentar untuk berdepan lawan yang mempunyai nama besar dalam politik di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BN  Perak mengambil pendekatan positif dengan kehadiran mereka yang akan bertanding di beberapa kerusi di negeri itu.

Menurutnya, jentera BN akan lebih bersemangat dalam memastikan nama besar itu tersungkur pada PRU-15.

Beliau berkata, malah BN menganggap kehadiran mereka sebagai sesuatu yang positif.

“Ini sesuatu yang bagus, kalau tiada tentangan, tiada ‘gergasi  datang, kita bimbang kalau jentera BN tidur.

“Tetapi dengan kehadiran gergasi ini, jentera BN bangkit berikrar dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan gergadi ditewaskan . Saya ambil ia sebagai suatu yang positif.

“Datanglah tidak kira sama ada gergasi atau tidak kerana lagi besar pangkat, lagi kuat jentera BN akan lawan habis-habisan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program ramah mesra bersama penduduk sempena Hari Deepavali di Kampung Chengai, Sungkai di sini hari ini.

Antara pemimpin politik utama yang akan bertanding di Perak pada PRU-15 ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak mengingatkan  jentera BN agar tidak terpedaya dengan propaganda yang ditunjukkan oleh pihak lawan.

Menurutnya, umpamanya kehadiran begitu ramai penyokong pada program anjuran parti politik seperti  di Larut dan Tambun.

“Saya kata jangan bimbang kerana itu (kehadiran penyokong) baru 10 peratus daripada keseluruhan pengundi, lagi 90 peratus masih terbuka. Saya cukup yakin pengundi sudah belajar daripada kesilapan pada 2018 lalu.

“Takkanlah orang Tambun begitu mudah terpedaya berikutan calon ahli Parlimen ini pernah mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor tetapi pulang dengan kosong. Kita pakat tolak lah,” katanya.

Mengenai pencalonan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Saarani memberitahu ia belum dimuktamadkan.

“BN ada kebijaksanaan yang tersendiri dan kita akan umumkan bila tiba masanya calon yang sesuai nanti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN