Bina sendiri benteng batu elak rumah runtuh - Utusan Malaysia

Bina sendiri benteng batu elak rumah runtuh

MOHD. Nafi Sulong mengutip batu untuk membina sendiri benteng di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Besut, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang penduduk yang tinggal di pesisir pantai di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini terpaksa membina sendiri benteng batu untuk mengelakkan rumahnya daripada runtuh akibat hakisan pantai dan ombak kuat pada musim monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Mohd. Nafi Sulong, 59, yang bekerja sebagai nelayan membina benteng tersebut di belakang rumahnya dengan mengutip batu yang terdapat di pantai itu.

Menurutnya, dia mengangkat batu-batu tersebut dengan kudrat tulang empat kerat dan diletakkan di dalam sangkar yang dibuat daripada jaring pagar dawai terbuang untuk memastikan benteng dibina kukuh.

Katanya, kerja-kerja membina benteng tersebut dibantu anaknya, Mohd. Azman, 32, sejak Jun lalu.

“Kami dua beranak yang tinggal di rumah itu mengutip batu tersebut sedikit demi sedikit apabila mempunyai masa selepas pulang menangkap ikan di laut.

“Saya sebelum ini membina benteng daripada guni pasir yang disusun di belakang rumah sebagai benteng, namun runtuh selepas dipukul ombak kuat sehingga struktur rumah saya senget.

“Diharapkan benteng batu yang saya dibina ini lebih kukuh untuk menyelamatkan rumah saya ranap akibat hakisan dan dipukul ombak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini, semalam.

Mohd. Nafi memberitahu, walaupun terdapat benteng pemecah ombak yang dibina oleh kerajaan sepanjang 500 meter di kampung itu tetapi benteng yang dibina sejauh kira-kira 10 meter dari belakang rumahnya rendah dan tidak dapat menahan ombak besar.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa membina sendiri benteng batu berdekatan rumahnya supaya lebih selamat.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan pihak kerajaan dapat membina benteng pemecah ombak lebih tinggi di belakang rumah saya ini.

“Pada masa sama, saya merayu agar terdapat pihak yang sudi membantu membekalkan batu dan jaring dawai untuk saya menyiapkan kerja-kerja membina benteng yang dibina sendiri itu,” ujarnya.

Mohd. Nafi berkata, kedudukan rumahnya yang didiami lebih 30 tahun itu pada awal berada sejauh 250 meter dari pantai, namun pada masa ini terlalu hampir dengan rumahnya akibat hakisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya