Bersatu Sabah intai kerusi Parlimen Sepanggar

Bersatu Sabah intai kerusi Parlimen Sepanggar

AZIZAH Mohd. Dun (empat kiri) bersama Srikandi dan Armada Bersatu Bahagian Sepanggar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas UMNO dan Pas, kini Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) pula mengintai untuk bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Cadangan itu dikemukan oleh Bersatu Sepanggar semasa persidangan perwakilan Srikandi dan Armada Bersatu Bahagian Sepanggar hari ini.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, setiap bahagian boleh mengemukakan cadangan atau permintaan untuk bertanding dimana-mana kerusi namun, pada akhirnya yang menentukan adalah pucuk pimpinan.

Di peringkat negeri, keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan kawasan mana dan siapa calon yang bertanding.

“Sudah tentu semua mahu bertanding dan kita tidak boleh halang hak mereka untuk memohon.

“Walau bagaimanapun, kita harus faham pada akhirnya pucuk pimpinan GRS yang akan buat keputusan,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Srikandi dan Armada Bersatu Sepanggar hari ini.

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, bukan hanya kerusi Sepanggar yang dilihat menjadi rebutan tetapi kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah menjadi rebutan kerana ramai orang yang menawarkan diri menjadi calon.

Menurut beliau, dalam satu parti bukan sekadar satu calon dicadangkan untuk satu kawasan, ada kawasan yang mempunyai dua atau tiga calon.

Tambah beliau, ini perkara biasa tapi akhirnya siapa yang terpilih menjadi calon terpulang kepada pucuk pimpinan. Bagi Srikandi, siapa sahaja yang terpilih akan disokong.

Mengulas lanjut katanya, Srikandi Bersatu Sabah telah mengemukakan senarai calon untuk bertanding di lima kerusi Parlimen.

Bagi Parlimen Beaufort, tidak semestinya beliau dipilih untuk pertahankan kerusi itu. Apabila GRS sudah menentukan calon, siapa pun calon di situ, Srikandi Bersatu akan tetap memberi sokongan demi memastikan kejayaan calon GRS.

Azizah berkata, sebagai orang parti, beliau akur dengan apa juga keputusan parti dalam menyokong calon yang telah ditentukan termasuklah calon Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen Sepanggar dimenangi oleh Datuk Mohd. Azis Jamman yang mewakili Parti Warisan (Warisan) pada PRU14 setelah memperoleh majoriti 12,984 undi.

Mohd. Azis memperoleh 28,420 undi menewaskan pencabar terdekatnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mendapat 15,436 undi.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yakub Khan secara terbuka menyatakan akan merampas semula kerusi Parlimen Sepanggar yang dahulunya menjadi kerusi tradisi BN.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya