Bersatu rakan istimewa - Pas Terengganu 

Bersatu rakan istimewa – Pas Terengganu 

HUSAIN Awang (dua dari kanan) menyerahkan bendera Pas kepada salah seorang wakil Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri dalam Majlis Perasmian Markas Induk dan Pelancaran Jentera PRU15 Kawasan Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan yang istimewa apabila tidak berebut untuk bertanding di kerusi Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, Bersatu didapati berlapang dada menerima cadangan Pas untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen termasuk di Parlimen Besut  walaupun parti itu menyatakan hasrat mahu mempertaruhkan calon di kerusi tersebut sebelum ini.

Beliau bangga dengan semangat kesatuan dan persaudaraan yang ditunjukkan oleh Bersatu apabila menerima cadangan tersebut ketika berunding dengan jawatankuasa agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Saya menyebut bahawa kerusi yang dimenangi oleh Bersatu, kita kekalkan. Kerusi yang telah dimenangi dan menjadi milik Pas terus menjadi milik Pas. 

“Tinggal lagi satu kerusi di (Parlimen) Besut (dan) Pas (juga) tetap berazam untuk mempertahankan ataupun mengambil balik kerusi yang dimiliki oleh UMNO itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Markas Induk dan Pelancaran Jentera PRU-15 Kawasan Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai di sini, malam tadi.  

Pada PRU15 ini,  Pas akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen manakala Bersatu pula hanya satu kerusi. Tujuh kerusi yang akan ditanding Pas adalah Parlimen Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Sementara itu, Bersatu pula diberi kerusi bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris memberitahu, parti itu akan menuntut untuk meletakkan calon di dua kerusi Parlimen iaitu Hulu Terengganu dan Besut.

Kerusi Parlimen Hulu Terengganu disandang oleh Timbalan  Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid manakala Parlimen Besut pula dimenangi oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Idris Jusoh.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Husain memberitahu, Pas menyangkal dakwaan mengenai kemungkinan penyokong Bersatu di Parlimen Besut memboikot Pas dalam PRU15 berkata, setakat ini tiada sebarang tanda mereka akan bertindak sedemikian terhadap Pas.

“Saya yakin bahawa Bersatu tetap terus bersama dengan kita dan mereka akan memberi komitmen untuk bersama-sama dengan Pas bukan sahaja di peringkat negeri, tapi juga di peringkat nasional,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Idris mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRU15 bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Dalam PRU14, Idris memenangi Parlimen Besut selepas mendapat 34,335 undi menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor (29,736 undi), serta calon PKR Datuk Dr. Wan Nazari Wan Jusoh (6,864). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN