Bersatu bertanding atau tidak di Parlimen Besut ditentukan esok

Bersatu tanding atau tidak di Parlimen Besut ditentukan esok

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keputusan sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di kerusi Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dimuktamadkan esok.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini, hanya kerusi Parlimen Hulu Terengganu di negeri ini yang sudah pasti ditandingi Bersatu.

“Kalau ikut perbincangan dalam Perikatan Nasional (PN) dahulu, Bersatu minta bertanding dua kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO sebelum ini iaitu Besut dan Hulu Terengganu. Enam lagi kerusi (Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu) pula kekal dipertahan Pas.

“Setakat ini, Hulu Terengganu memang jadi kerusi Bersatu, cuma Besut sahaja masih dalam perundingan dan diputuskan dalam Mesyuarat PN Pusat,” katanya selepas merasmikan Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah 2022 peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Ditanya kesediaannya bertanding di Parlimen Hulu Terengganu, Rosol berkata, perkara itu tidak perlu terlalu ‘dirisaukan’ kerana pengundi lebih mengenali diri dan keperibadiannya.

“Saya bukan orang baharu dalam kalangan pengundi, dah empat penggal jadi wakil rakyat mereka (termasuk ketika berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil). Trend sekarang, pengundi tak lihat parti mana, tapi memilih sosok tubuh pemimpin yang mereka yakin membela nasib mereka dengan baik,” katanya.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Razali Idris.

Bagaimanapun, Rosol keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018 dengan memberi alasan rakyat terutama pengundi di Parlimen Hulu Terengganu tidak menikmati pembangunan dan dipinggirkan selepas lebih enam bulan PRU14 berlalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya