Beri makan kepada kera sehingga bahu jalan kotor - Utusan Malaysia

Beri makan kepada kera sehingga bahu jalan kotor

SISA makanan berupa nasi dan sampah sarap yang dibuang individu tidak bertanggungjawab kelihatan bertaburan di bahu jalan di Jalan Mahkamah-Ambangan Height, Sungai Petani. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah dan sisa makanan sesuka hati di Jalan Mahkamah-Ambangan Height di sini hingga mencacatkan pemandangan.

Dakwa pengguna, sebelum ini hanya terdapat sampah sarap berupa bekas makanan dan beg plastik yang ditinggalkan individu yang memberi makanan kepada kera.

Namun sejak sebulan lalu didapati pelbagai sisa makanan seperti nasi, mi, bihun dan lauk-pauk dibuang di situ sehingga menimbulkan bau busuk.

Seorang pengguna, Mohd. Tahir Mansor, 45, berkata, perbuatan terbabit dipercayai dilakukan beberapa pemilik kedai makan di sekitar daerah ini yang mengambil jalan mudah membuang sisa makanan.

“Kera yang mendiami kawasan ini tidak memakan sisa daripada kedai makan kerana bukan diet primat itu. Jika terbiar lama, sisa makanan itu akan berbau busuk dan diselerakkan anjing liar,” katanya semalam.

Pekerja pembersihan di sebuah hospital, Maimun Manaf, 44, berkata, dia berulang-alik dari rumah di Zon Mawar ke tempat kerjanya dengan menggunakan laluan itu setiap hari.

“Dahulu kita boleh lihat syarikat pembersihan di kawasan ini kerap memungut sampah.

“Tetapi kini jarang dilihat hingga menyebabkan taburan sampah semakin meluas jarak­nya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN