Bekas wartawan Utusan Malaysia calon PKR Hulu Terengganu

PRU15: Bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia calon PKR Hulu Terengganu

ALIAS ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia merupakan antara empat calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 9 November ini.

Alias Ismail, 54, yang kini bertugas sebagai Pegawai Pakar Bahasa di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) juga merupakan Ketua Penerangan PKR Terengganu serta Naib Ketua Cabang 2 Hulu Terengganu.

Tiga lagi calon PKR adalah Naib Ketua Cabang Kuala Nerus, Mohamad Ngah, 69, dipertaruhkan di Parlimen Setiu dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Terengganu, Mohd. Johari Mohamad, 51, pula bertanding di Parlimen Dungun.  

Sementara itu, seorang lagi calon PKR, Hasuni Sudin, 59, yang merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Kemaman akan bersaing di Parlimen Kemaman.

Semalam, PKR mengumumkan senarai penuh calon-calon yang akan bertanding pada PRU15.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memberitahu, lapan kerusi Parlimen di negeri ini akan diagihkan secara sama rata antara Amanah dan PKR.

Menurut beliau, Amanah akan bertanding di empat Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Besut manakala PKR pula bertanding di Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu.

Setakat ini, Amanah Terengganu pula hanya mengumumkan calon yang akan bertanding di Parlimen Marang sahaja.

Calon tersebut adalah seorang guru agama, Ustaz Azhar Abdul Shukur, 57. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya