Bekas Pengarah JKR Kedah individu pertama umum tanding PRU15

Bekas Pengarah JKR Kedah individu pertama umum tanding PRU15

NORDIN YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tidak sampai dua jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Datuk Dr. Nordin Yunus mengumumkan bertanding di Parlimen Alor Setar.

Nordin, 69, yang juga bekas Naib Presiden Kanan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) berkata, beliau bercadang bertanding sebagai calon Bebas bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk Parlimen itu terutama dalam aspek pembangunan fizikal.

“Selain tu saya mahu membawa semula perpaduan ummah merentasi parti, khususnya dalam kalangan 65 peratus penduduk Melayu di Alor Setar.

“Terpulang kepada pengundi di Alor Setar khususnya orang Melayu untuk membuat penilaian. Sejak  dulu, saya lihat bandar raya ini tidak banyak berubah dan dengan pengalaman yang saya ada, rasanya saya mampu tawarkan sesuatu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nordin merupakan anak jati Alor Setar dan berkhidmat sebagai Pengarah JKR di negeri ini dari 1996 hingga 2003. Beliau turut cemerlang dalam bidang akademik dan meraih beberapa pencapaian antaranya BSc dalam bidang kejuruteraan dari University of Manchester, Ijazah MS dalam bidang kejuruteraan dari Washington University, St. Louis serta ijazah doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan pentadbiran dari University of Missouri, Amerika Syarikat.

Selain pengalamannya bersama JKR dan NCER, Nordin pernah berkhidmat sebagai Profesor Kejuruteraan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap). Beliau juga merupakan Naib Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Melayu Kedah.

Nordin berkata, sebelum ini beliau pernah menjadi ahli UMNO sebelum memilih untuk bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kini saya sudah tidak terbabit dengan mana-mana parti dan akan bertanding Bebas. Ini merupakan kali pertama saya akan bertanding dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN