MELAKA: Kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mengubah persepsi keluarga yang menerima kembali bekas pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas di sini, untuk pulang ke pangkuan tersayang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, individu yang mahu dikenali dengan nama Fitri itu berkata, dia mula menjadi penghuni SHG pada 2019 dan bertekad untuk berjaya kerana mahu membanggakan kedua ibu bapanya.
Katanya, sebelum ini dia tidak diterima keluarga selepas melakukan kesalahan serius tiga tahun lalu yang menyebabkan mereka berasa kecewa.
“Sebelum ini, saya jahat dan sukar untuk orang lain menerimanya. Selepas masuk SHG, saya berazam hendak berubah dan buktikan pada keluarga serta masyarakat bahawa tidak semua budak jahat akan jahat selamanya.
“Andai kata saya beroleh keputusan cemerlang, mungkin saya diterima ibu bapa kembali. Setelah saya dapat keputusan 6A, keluarga saya menangis kerana tidak menyangka saya boleh dapat keputusan yang baik.
“Semasa di atas pentas pun ibu menangis kerana saya banyak mengecewakan dia. Sejak masuk SHG, saya tidak pernah bercakap, salam dan peluk dia kerana tiada ahli keluarga yang datang melawat sepanjang saya di sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti (SI) dan SHG.
Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang yang mahu dikenali sebagai Iqbal mengakui, dia langsung tidak menyangka mampu memperoleh 6A, memandangkan perlu belajar dalam suasana berbeza berbanding sesi persekolahan biasa.
Kata atlet Sukan Malaysia (Sukma) Kontinjen Melaka itu, dia sudah berjanji dengan keluarganya untuk berubah terutama melalui pencapaian akademik.
“Saya fikir sampai bila hendak buat masalah dan jadi jahat. Lama-kelamaan timbul perasaan hendak berubah dan mahu jadi normal kembali.
“Alhamdulillah, kami yang tidak tahu apa-apa telah menerima bimbingan daripada guru-guru dan warden di SHG. Tenaga pengajar berusaha mencari bahan untuk kami ulang kaji demi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi guru. – UTUSAN