Bekas ADUN Behrang tanding Bebas Parlimen Tanjung Malim - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Behrang tanding Bebas Parlimen Tanjung Malim

JAMALUDDIN Mohd. Radzi (duduk, tengah) bersama penyokongnya ketika majlis pembukaan pusat khidmat di Taman Slim Mutiara dekat Tanjung Malim baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd. Radzi mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai calon Bebas.

Jamaluddin, 66, yang juga bekas ahli PKR berkata, keputusan kembali ke pentas politik selepas kira-kira sembilan tahun kerana mahu terus berbakti kepada rakyat di Parlimen.

Katanya, keputusannya itu adalah atas kehendak rakyat di Parlimen itu yang mahukan khidmatnya.

“Selama ini saya bergerak secara solo tanpa menyertai mana-mana parti politik namun hasrat ingin berbakti kepada rakyat di Parlimen sentiasa ada.

“Keputusan saya untuk bertanding pada PRU15  atas kehendak rakyat yang meminta saya kembali dalam politik. Setiap kali saya bertemu orang ramai di tempat awam, itulah reaksi mereka yang membuatkan saya terpanggil untuk kembali dalam dunia politik.

“Keputusan ini bukan bukan secara terburu-buru atau desakan mana-mana pihak, tetapi atas kehendak rakyat dan rakan seperjuangan yang masih setia bersamanya selama ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jamaluddin menyasarkan untuk mendapatkan sokongan undi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan DUN Slim serta sebahagian DUN Sungkai yang berada dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim.

Menurutnya, beliau telah membuka sebuah pejabat yang juga pusat khidmat di Taman Slim Mutiara pada Jun lalu.

“Pejabat ini bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan serta memberitahu pengundi bahawa keputusan dibuat untuk bertanding bukan main-main,” katanya.

Sementara itu, beliau mendedahkan terdapat tiga parti politik yang membuat tawaran menyertai mereka namun ditolak secara baik.

Beliau yang enggan mendedahkan parti mana berkata, ini kerana beliau mahu kekal menjadi Bebas kerana cara itu mudah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“PRU kali ini saya berpandangan orang akan lihat calon berbanding parti. Siapa calon yang dapat gembirakan rakyat, dia ada potensi menang, bukan sebab parti,” jelas beliau.

Jamaluddin merupakan antara empat ADUN yang mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang pada Februari 2009 apabila mereka menyokong BN membentuk kerajaan negeri.

Selain Jamaluddin, tiga lagi ADUN ketika itu, Nasarudin Hashim (Bota), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) turut mengambil langkah sama sekali gus menyebabkan BN kembali memerintah negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya