BENTONG: Bekalan telur ayam di negeri ini dijangka kembali pulih seperti biasa bagi menampung permintaan tinggi pengguna termasuk ketika musim perayaan Deepavali, Isnin ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Datuk Mark Ujin berkata, masalah kekurangan bekalan tersebut sebelum ini disebabkan permintaan tinggi termasuk pembelian panik pada waktu pusingan pengeluaran yang rendah.
“Ia hanya gangguan bekalan, bukan stok tidak ada tetapi permintaan tinggi dan pada masa sama pengeluar ada masa ‘down time’ yang memerlukan masa untuk kembalikan semula pengeluaran.
“Jadi kita minta orang ramai tidak buat pembelian panik dengan jumlah yang banyak dan tidak memilih gred tertentu kerana bekalan telur adalah mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya, di sini hari ini.
Menurut Mark, bekalan telur ayam di seluruh negeri akan kembali seperti biasa cuma mengambil sedikit masa lagi selepas bekalan baharu sampai.
Katanya, kementerian itu akan terus memantau bagi memastikan bekalan telur dan barangan keperluan lain mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2022 akan berkuat kuasa bermula 20 Oktober hingga 26 Oktober melibatkan lapan jenis barangan terkawal.
Katanya, antara barangan terkawal SHMMP Deepavali 2022 ialah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar dan kacang dal.
Sementara itu katanya, sepanjang 10 bulan tahun ini pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 28,128 premis perniagaan yang terdiri daripada pemborong dan peruncit.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP pelbagai perayaan tahun ini pula, sebanyak sembilan kes telah dibuka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kompaun sebanyak RM2,300. – UTUSAN