GUA MUSANG: Pemandu sebuah bas ekspres yang membawa seramai 40 orang penumpang berdepan detik cemas apabila kenderaan tersebut terbabas ke dalam semak di ladang kelapa
sawit di Kilometer 44, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, pemandu dan penumpang selamat meskipun ada beberapa penumpang mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, bas tersebut dinaiki seramai 10 orang guru dan 30 murid berusia dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun dari Sekolah Islam Integrasi Ikhwan Gong Kulim, Pasir Puteh sedang dalam perjalanan dari Zoo Negara untuk pulang ke Pasir Puteh.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, stereng bas tersebut dipercayai tidak berfungsi sebelum terbabas ke dalam semak di kawasan ladang sawit.
“Tiada mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas itu dan mereka berjaya keluar untuk menyelamatkan diri sendiri.
“Kesemua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN