PETALING JAYA: Kerajaan menerusi Bajet 2023 memperkenalkan semula bantuan kepada pesawah padi dengan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta.
Selain itu, kerajaan mengumumkan peruntukkan RM256 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM800 kepada pekebun kecil getah yang akan memanfaatkan 320,000 pekebun kecil.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengumuman merupakan antara inisiatif pengumuman di bawah Bajet 2023 bagi memastikan kebajikan dan sokongan yang berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil.
Selain itu, katanya pelbagai subsidi dan insentif merangkumi subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan dengan peruntukan RM1.8 bilion ringgit iaitu meningkat RM100 juta berbanding sebelum ini.
“Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program Target untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.
“Kelima iaitu Skim Perlindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi,” katanya. – UTUSAN