ALOR GAJAH: Peruntukan RM372.3 bilion dalam Bajet 2023 dianggap sebagai ‘gula-gula’ yang lebih menjurus kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, tiada apa yang baharu dalam bajet yang dikatakan sebagai prihatin itu kerana intipatinya hampir sama seperti pernah dilakukan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, apa yang membezakannya dengan Bajet 2022 adalah jumlah peruntukan disalurkan kepada setiap kementerian atau jabatan dinaikkan sedikit sekitar dua atau tiga peratus.
“Bajet kali ini ada tambahan sama seperti tahun lepas kerana jumlah peruntukan dinaikkan sedikit. Jadi tidak banyak perkara baharu. Selain itu ada beberapa unsur dalam bajet tersebut tidak begitu jelas seperti kedudukan taraf kehidupan rakyat, sistem pendidikan dan keusahawanan.
“Rakyat kena sedar bahawa keprihatinan bukan sahaja melibatkan bantuan kewangan tetapi pelbagai bentuk. Insya-Allah saya akan bahaskan perkara ini apabila Parlimen dibuka atau perbahasan Bajet 2023 dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Cawangan Marrybrown Masjid Tanah di sini semalam.
Dalam pada itu, mengenai peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negara, Mohd. Redzuan berkata, ia merupakan antara perkara positif dalam Bajet 2023 apabila kerajaan menaikkan peruntukan daripada RM75.6 bilion pada 2022 kepada RM95 bilion.
Katanya, peruntukan berkenaan dijangka menjadi perangsang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, saya berharap kita tidak meminjam untuk menanggung perbelanjaan pengurusan. Pada masa sama kita juga kena pastikan setiap kementerian yang menerima peruntukan untuk lebih fokus dalam menambah nilai Malaysia sebagai negara pengeluar. Ini penting bagi mengelakkan kebergantungan kita terutamanya dalam produk makanan terhadap negara luar,” ujarnya. – UTUSAN