TAPAH: Bajet 2023 akan dibentangkan semula sebelum hujung tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pembentangan semula itu ekoran bajet berkenaan belum sempat dibahaskan berikutan pembubaran Parlimen.
“Kita sudah umumkan bajet, macam-macam yang kita mahu beri kepada rakyat, semua kita mahu bagi yang mana orang kampung paling banyak dapat. Tetapi, kita belum luluskan lagi bajet itu dan kita kena bentang lagi sekali sebelum akhir tahun ini.
“Kalau orang lain perintah, saya tidak jamin dapat apa yang dijanjikan. Jika kita perintah, saya lagi jadi Perdana Menteri, insya-Allah, semua bajet yang dibentangkan kita luluskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Ismail Sabri, inisiatif di dalam bajet tidak sama seperti janji manifesto kerana apabila ia sudah dibentangkan, bermakna kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakannya.
“Ada beza antara bajet belum lulus dengan manifesto. Manifesto ini janji, bak kata orang itu, janji bukan kitab suci. Hari ini janji harga minyak diturunkan tapi tidak turun, itu janji. Tetapi bajet apabila dibentangkan bermakna duit sudah tersedia. Cuma tunggu lulus sahaja, bila sudah lulus, terus boleh laksanakan,” katanya. – UTUSAN