Bahang PRU-15 dirasai, bilik gerakan sudah dibuka

Bahang PRU-15 dirasai, bilik gerakan sudah dibuka

BAHANG PRU15 semakin terasa apabila parti-parti politik khususnya BN telah membuka bilik gerakan dalam menghadapi pilihan raya tersebut di Kampung Guring Tengah, Pauh, Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah dirasai dengan parti-parti politik semakin rancak membuat persediaan dan mengatur jentera menjelang pilihan raya tersebut yang dijangka pada bila-bila masa selepas Parlimen dibubarkan semalam.

Malah, bilik-bilik gerakan khususnya membabitkan jentera Barisan Nasional (BN) dilihat sudah mula dibuka sejak dua minggu lalu dengan ahli-ahli sudah giat mengatur strategi dan persediaan dalam meraih undi.

Program-program serta pertemuan melibatkan pimpinan dan jentera juga dilihat semakin rancak termasuk dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama parti politik ke negeri ini.

Di Arau, Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan semua 130 cawangan di kawasan berkenaan sudah membuka bilik gerakan sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya tersebut.

“Insya-Allah sebagai Ketua UMNO Bahagian Arau, kita patuhi keputusan parti untuk mengadakan pilihan raya segera. Kita juga sudah mula gerakkan jentera di Arau,” katanya.

Ketua Cawangan Kampung Guring Tengah, Baharom Hasan berkata, mereka sudah menjalankan kerja-kerja di lapangan khususnya membabitkan kajian sikap terhadap pengundi.

Katanya, mereka juga mengaturkan pelbagai program bagi mendekati pengundi muda khususnya pengundi 18 tahun ke atas.

“Kita di peringkat akar umbi sudah bersedia dengan kekuatan jentera dalam menghadapi pilihan raya dijangka pada bila-bila masa,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Cawangan Guring Tengah, Merziyah Hassan pula berkata, akar umbi di kawasan berkenan sudah membuat persediaan lebih awal dalam berdepan PRU15.

“Tiap-tiap malam mereka berkumpul di bilik gerakan ini bagi membincangkan usaha dan langkah-langkah mendekati pengundi. Harapan kita agar BN dapat mencapai kemenangan,” katanya.

Sementara itu, parti-parti juga giat membuat persediaan antaranya Pesuruhjaya Pas merangkap Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini juga memaklumkan bahawa gabungan tersebut sudah bersiap sedia dalam menghadapi PRU15 di negeri ini.

“Dengan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PN diyakini mampu menawan Perlis dalam PRU15,” katanya.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah ketika ditemui baru-baru ini, pula berkata, Bersatu dan Pas menerusi PN sudah bersiap sedia berdepan PRU15 dan yakin merampas Perlis daripada BN.

“Selain Guar Sanji dan Sanglang yang berkemungkinan kekal dikuasai Pas, Bersatu hanya memerlukan kemenangan di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15 bagi membentuk kerajaan di negeri ini.

“Bersatu negeri yang menyasarkan bertanding tujuh atau lapan kerusi DUN bakal mengenengahkan calon anak tempatan daripada pelbagai lapisan umur yang sudah pastinya dekat dengan jiwa rakyat,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, rakyat Malaysia sekali lagi diberi mandat memilih kerajaan baharu bagi tempoh lima tahun akan datang, selepas Parlimen dibubarkan untuk membuka laluan PRU15.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas berkata, pembubaran itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2) (b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya