KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan beliau berada dalam senarai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau antara 70 peratus calon muka baharu yang telah disenarai dan dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk proses penilaian akhir sebelum bertanding dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu secara jelas sama ada pencalonannya hanya untuk peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kedua-duanya.
“Termasuk saya sendirilah (senarai calon yang dihantar kepada Pengerusi BN.
“Saya percaya, apabila pengerusi BN katakan sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu akan ditonjolkan, dan kami pun sudah menghantar senarai calon di peringkat Parlimen dan DUN kepada pengerusi, jadi kita tunggulah keputusannya.
“Namun, saya yakin dan optimis lebih ramai calon wajah baharu akan ditampilkan dalam pilihan raya umum kali ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai antara calon muda dan baharu dalam senarai berkenaan yang akan bertanding dalam pilihan raya.
Pada Ogos lalu, Asyraf didakwa bakal bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada PRU15, namun Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan ia hanya spekulasi.
Pada PRU14 lalu, Asyraf pernah bertanding di Pasir Puteh, Kelantan namun kalah dengan majoriti 1,360 kepada calon Pas, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon PKR diwakili oleh Datuk Kamarudin Md. Nor.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Pemuda tidak pernah mendesak pimpinan tertinggi parti untuk mendapatkan kuota antara 20 peratus hingga 50 peratus, namun, beliau tetap berpendirian supaya BN memberikan peluang lebih ramai calon muda dan baharu untuk bertanding.
“Ini bagi memberikan satu isyarat bahawa BN komited kepada mewajahkan semula parti sebagai parti yang melakukan rejuvinasi, tahap pembaharuan yang tinggi dari segi dalaman.
“Kalau lihat komitmen yang diberikan oleh pimpinan semasa pilihan raya negeri di Melaka, 84 peratus muka baharu yang ditampilkan di 79 peratus pula di Johor.
“Malah, buat pertama kali di peringkat Pemuda BN kita sudah ada 13 wakil rakyat dan lapan sudah dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Ini satu pembuktian apabila pengerusi BN menyatakan komitmennya untuk melakukan perubahan dan ia telah direalisasikan dalam kedua-dua pilihan raya negeri,” katanya. –UTUSAN