Arbitrasi alternatif selesai konflik perundangan syariah-sivil - Utusan Malaysia

Arbitrasi alternatif selesai konflik perundangan syariah-sivil

MOHD. Na'im Mokhtar (dua kiri) dan Hamid Sultan Abu Backer (dua kanan) berbual bersama pengamal undang-undang Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) buat julung kalinya menganjurkan program arbitrasi yang menghimpunkan pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Program berkenaan dikendalikan arbitrator, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Prof. Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, arbitrasi atau dikenali sebagai hakam atau timbang tara bukanlah suatu istilah asing dalam Islam.

Beliau berkata, arbitrasi atau hakam adalah salah satu penyelesaian alternatif terhadap kaedah perbicaraan di mana pelaksanaannya dibuat secara tertutup.

“Kaedah itu menampilkan ciri-ciri khas yang menggalakkan perbincangan, mampu menyelesaikan kes dalam tempoh yang lebih singkat dan mengurangkan perseteruan. Di Mahkamah Syariah, konsep hakam hanya diaplikasikan menerusi Seksyen 48, Undang-undang Keluarga Islam, iaitu apabila berlaku syiqaq bagi permohonan perceraian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, beberapa buah negeri yang mengkanunkan Kaedah-kaedah Hakam seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang mana hakam boleh terdiri sama ada dalam kalangan ahli keluarga, mahupun hakam panel yang dilantik Majlis Agama Islam.

Mohd. Na’im berkata, pelaksanaan di Mahkamah Syariah berbeza dengan konsep arbitration dan hakam di Mahkamah Sivil yang digunakan secara meluas, merangkumi perkara berkaitan kekeluargaan, pertikaian sivil malah melibatkan konflik antara negara.

“Walaupun terdapat kelainan antara pelaksanaan Majlis Tahkim di Mahkamah Syariah dengan kaedah pengoperasiannya di Mahkamah Sivil, namun JKSM percaya terdapat teori dan prosedur pelaksanaannya yang boleh diharmoni dan diadaptasi di Mahkamah Syariah.

“Program arbitrasi ini diharap dapat mencapai matlamat untuk membuka dimensi baharu kepada pegawai syariah terhadap pelaksanaan arbitrasi di Mahkamah Sivil. JKSM juga percaya jika kaedah ini dikendalikan dengan baik, ia mampu menjadi platform kepada pengamal undang-undang syariah dan sivil dalam menyelesaikan konflik perundangan dengan lebih harmoni,” katanya.

Katanya, statistik yang dikeluarkan oleh JKSM sepanjang 2015 hingga 2019 menunjukkan terdapat 306,454 kes pembubaran perkahwinan.

Jelasnya, daripada pola pemfailan kes tersebut didapati bahawa berlaku peningkatan pemfailan kes perceraian menerusi kaedah hakam dengan peratusan sebanyak 49 peratus, berbanding tujuh jenis pembubaran perkahwinan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya