IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keputusan beliau menentang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Parlimen Tambun sejajar dengan keazaman PH untuk menawan negeri Perak.
Menurutnya, beliau sedia berdepan Ahmad Faizal dan yakin mampu mengalahkan Ahli Parlimen Tambun itu.
“Saya akan berlabuh di Tambun. Saya mahukan Perak, maka saya akan terjun bersama-sama politik negeri ini, saya tak memilih untuk bertanding di kawasan mudah dan menang majoriti besar, saya ketua, jadi saya berani merempuh untuk menawan Parlimen Tambun.
“Saya datang bersama keyakinan untuk merampas Parlimen Tambun dan Perak, walaupun saya tahu ada nama besar di situ (Tambun) ini kesediaan saya, saya mahu tunjukkan bahawa tidak mustahil (menang) kerana kita yakin kesedaran rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri PH.
“PH menawarkan kepada rakyat Malaysia jika mandat diberikan kepada PH, calon Perdana Menterinya ialah Anwar.
“Tokoh ini telah cukup teruji, 11 tahun mendiami penjara, diaibkan tapi atas nama perjuangan rakan yang setia dan penyokong, beliau konsisten menentang rasuah.
“Jawatan ini datang bersama amanah yang cukup besar,” katanya. – UTUSAN