Anggota bomba ubah suai van bomba seludup 850kg ketum - Utusan Malaysia

Anggota bomba ubah suai van bomba seludup 850kg ketum

AHMAD Arifin menunjukkan rampasan ketum selepas anggotanya menahan van 'Bomba' di Kampung Rabbana, Jeli, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Taktik dua lelaki termasuk seorang anggota bomba yang mengubah suai sebuah van kepada kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyeludup sebanyak 850 kilogram ketum bernilai RM8,500 terbongkar apabila mereka ditahan di Kampung Rabbana di sini, Khamis lalu.

Anggota bomba yang berusia 29 tahun itu dan rakannya berusia 35 tahun yang memakai baju-T dan seluar celoreng bomba dicekup kira-kira pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Ahmad Arifin berkata, kenderaan tersebut pada awalnya melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini sebelum anggota polis melihat sebuah van jenis Toyota Hiace milik JBPM dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis terus mengekori van tersebut hampir 10 kilometer sebelum menahannya di Kampung Rabbana.

“Pemeriksaan di dalam van itu telah menemukan sebanyak 85 bungkusan plastik hitam mengandungi 850 kilogram daun ketum.

“Semakan turut mendapati, van tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casisnya juga tiada dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, enjin kenderaan itu juga dikenal pasti sama dengan kes curi lori di Seri Alam, Johor Bahru kira-kira sembilan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, siasatan mendapati, kedua-dua suspek baru menjalankan kegiatan menyeludup daum ketum menggunakan van yang diubah suai itu pada awal bulan ini.

Katanya, mereka dipercayai memperoleh bekalan daum ketum berkenaan dari sebuah negeri di utara dan kesemua bahan-bahan tersebut akan dijual di sekitar Machang dekat sini.

“Siasatan turut mendapati, kedua-dua suspek mendapat upah sebanyak RM3,000 bagi setiap satu trip penghantaran daun ketum masuk ke Kelantan.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 27 Oktober sehingga 1 November ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 bagi kes seludup ketum dan Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana penjawat awam mengambil bahagian dalam perniagaan menyalahi undang-undang.

Tambahnya, kedua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian yang membawa tanda penjawat awam dengan niat menipu dan Seksyen 108 (f) Akta Pengangkutan Jalan kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya