KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen Tawau yang sering dikaitkan sebagai kerusi kaum Cina mungkin memperlihatkan situasi sedikit berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Selepas Undi18 dikuatkuasakan, 62 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu kini adalah pengundi bumiputera maka calon di kawasan tersebut tidak lagi bergantung kepada undi kaum Cina semata-mata.
Kini, kerusi Parlimen Tawau disandang oleh pemimpin PKR, Datuk Christina Liew yang memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,727 undi pada PRU-14.
Beliau memperoleh 21,400 undi menewaskan Datuk Mary Yap yang mewakili Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 16,673 undi.
Selepas Undi18 diluluskan, jumlah pengundi yang direkodkan di Parlimen itu kini mencecah seramai 87,189 orang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, berdasarkan landskap politik semasa, Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) dilihat berpotensi merampas semula kerusi Tawau sekiranya mereka bekerjasama pada PRU-15.
Berdasarkan undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, peluang GRS-BN dilihat sukar untuk menang sekiranya mereka tidak bekerjasama. Sebelum ini, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) secara terbuka menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di Parlimen Tawau manakala Pakatan Harapan (PH) Sabah mengulangi pendirian untuk membantu Liew mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-15. – UTUSAN