Anak Nik Aziz, bekas naib canselor antara calon PKR

Anak Nik Aziz, bekas naib canselor antara calon PKR

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama calon mewakili PKR pada PRU15 dalam sidang akhbar di Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar antara tujuh calon berprofil tinggi yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Keadilan di sini, petang ini. 

Selain Nik Omar, enam lagi calon adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan (calon PH Pahang) dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Noraishah Abdul Aziz (calon PH Wilayah Persekutuan). 

Seterusnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (calon PH Selangor); bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (calon PH Negeri Sembilan) dan pelajar doktor falsafah UM, Fathin Amelina Fazlie. 

Menurut Anwar, tokoh yang diperkenal itu disifatkan istimewa kerana mempunyai kemahiran dan keterampilan dari pelbagai disiplin lapangan serta pengalaman untuk dipersembah kepada rakyat. 

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan betapa seriusnya PKR dalam menampilkan tokoh berwibawa yang mana bukan sahaja memberi keutamaan kepada aktivis parti, tetapi memberi ruang kepada individu lain yang boleh memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. 

“(Namun, keputusan) sama ada tokoh yang ditampilkan hari ini bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN diumum pada 28 Oktober, (tetapi) saya umum (petang ini) kuota PKR. 

“(PKR akan tampilkan) ramai lagi tokoh, cuma hari ini kita tonjolkan sebahagian utama dan yang lain perlu tunggu pengumuman rasmi nanti (28 Oktober),” katanya kepada pemberita, hari ini. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keahlian Nik Omar, Anwar cuma menjelaskan, beliau sudah menyampaikan pandangannya berhubung status anak bekas Mursyidul Am Pas itu untuk bertanding di bawah PH, namun enggan mengulas lanjut. 

“(Status keahlian Nik Omar) belum berbangkit sebab kita sudah menyampaikan pandangan kepada Amanah, (yang penting) kita bertanding di bawah PH,” ujarnya. 

Sementara itu, Nik Omar ketika diminta mengulas mengenai keahliannya menyifatkan: ‘Pepatah Arab ada menyebut semua jalan menuju ke Mekah, jadi ada yang jalan darat, ada yang jalan jauh, ada ke udara. Yang penting kita dalam satu PH, keberadaan ambo (saya) di sini untuk menunjukkan komitmen tentang konsisten kita untuk bawa kerajaan yang berpaksikan kepada keadilan.” – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya