GUA MUSANG : Aktiviti mengeluarkan saki-baki kayu balak yang sudah ditebang di kawasan penempatan Orang Asli sedang giat dilakukan sebelum tibanya musim tengkujuh.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, laluan utama lori dan treler kayu balak di sekitar Pos Bihai menuju Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis dilihat sibuk dengan kenderaan berat itu.
Seorang penduduk Orang Asli, Khairol Baha, 41, mendakwa, pergerakan keluar masuk lori yang membawa muatan balak dapat dilihat sejak akhir-akhir ini dan mereka sudah lali melihat aktiviti tersebut.
“Kebiasaannya, pihak pembalak tidak melakukan kerja menebang balak dan akan berehat beberapa bulan ketika musim tengkujuh.
“Kami difahamkan kerja menebang balak tidak lagi dilakukan dan mereka hanya mengangkut balak lama yang sudah ditebang,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Busu Pandak, 62, memberitahu, aktiviti pembalakan di kawasan pedalaman Orang Asli sudah berleluasa sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, mereka selaku penduduk kampung sememangnya berharap pihak pembalak dapat menangguhkan aktiviti pembalakan ketika musim tengkujuh.
“Kami yakin bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh ada kaitan dengan aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan.
“Bagi masyarakat luar yang rakus mereka hanya fikir duit tetapi kami masyarakat Orang Asli yang menerima kesannya termasuk berlaku banjir lumpur, sungai kotor dan tanah runtuh,” ujarnya. –UTUSAN