BALIK PULAU: Genggam bara api biar sampai jadi arang. Itulah prinsip yang dipegang Noriha Husin sepanjang membangunkan perniagaannya, Noors Cookies sejak 12 tahun lalu.
Wanita berusia 57 tahun ini berkata, pelbagai kaedah digunakan bagi merancakkan prestasi perniagaan, malah beliau tidak betah duduk diam selain sentiasa memerah idea segar untuk diketengahkan menerusi produk baharu.
“Kek lapan inci berharga RM15 antara produk yang paling mendapat sambutan kerana dengan harga serendah itu, pelanggan berpeluang membeli sebiji kek yang terdiri daripada lima jenis perisa iaitu coklat, pandan, vanilla, beri biru dan oren.
“Selain aneka kek, lebih 26 jenis biskut dan pelbagai jenis kerepek turut dijual di kedai yang beroperasi di Taman Sempurna,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau bersyukur kerana anak sulungnya, Shah Nor Azdzilawaty Shahrani,37 dan menantunya, Muhamad Iswan Ahmad,35, turut sama membantu melancarkan operasi syarikat.
“Azdzilawaty cekap menyiapkan tempahan kek khas atau ‘custom made’ yang diminta pelanggan manakala suaminya pula menguruskan penyediaan kacang potong iaitu antara produk popular yang sentiasa menerima permintaan tinggi.
“Setakat ini, terdapat lima pekerja yang membantu memastikan tempahan kek dan biskut dapat disiapkan tepat pada masanya.
“Segala promosi produk yang dijalankan akan dimuatnaik menerusi media sosial seperti Facebook bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan,” katanya.
Tambahnya, label Noors Cookies semakin kukuh selepas beliau berdaftar sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak tahun 2014.
“Sejujurnya, AIM banyak membantu memudahkan saya untuk membuat pusingan modal menerusi pinjaman yang diberikan secara berperingkat.
“Antara cabaran utama dalam menguruskan perniagaan adalah modal, namun AIM terus memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan modal perniagaan supaya bisnes dapat terus berkembang.
“Terima kasih diucapkan kepada AIM kerana sentiasa memberikan motivasi kepada usahawan untuk terus maju dan cemerlang,” katanya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Noors Cookies, bolehlah melayari Facebook Noors Cookies atau hubungi 011-18794905. – UTUSAN