Aidil sempat raikan hari lahir ibu

Aidil sempat raikan hari lahir ibu

MOHD. AIDIL HAIZIRYN ZULKARNAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mangsa lemas, Mohd. Aidil Haiziryn Zulkarnain, 15, sempat meraikan hari lahir ibunya malam tadi sebelum ditemukan lemas di Tasik Tiga Beradik, Seri Alam, di sini, pagi tadi.

Bapa mangsa, Zulkarnain Mohd. Ali, 46, berkata, anak sulungnya itu turut menitipkan ucapan selamat hari lahir serta mencium pipi ibunya, Norhaliza Hussin yang menjangkau usia 43 tahun.

Dia amat terharu detik manis itu adalah yang terakhir setelah anak lelakinya itu pergi buat selamanya hari ini. 

“Tak sangka itu adalah yang terakhir,” katanya kepada hari ini. 

Pagi tadi, Mohd. Aidil Haiziryn ditemui mati lemas manakala seorang lagi rakannya terselamat, selepas dipercayai mandi di Tasik Tiga Beradik  Seri Alam.

Kedua-dua remaja terbabit bersama empat lagi rakan sekolah mereka termasuk dua perempuan dipercayai melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk mandi di tasik terbabit.

Operasi mencari mangsa yang dilakukan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan Pasir Gudang menemukan mangsa pada kedalaman tiga meter dan sejauh tujuh meter dari tebing.

Anak sulung daripada tiga beradik itu gemar melakukan aktiviti mendaki dan kerap ke kawasan itu bersama-sama rakan-rakannya.

Malah, katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai itu turut memintanya menghantar ke lokasi terbabit namun terpaksa menolak kerana urusan lain.

“Saya tahu dia mahu pergi ke sana bahkan minta saya menghantarnya. Memandangkan ada urusan lain, dia menumpang kereta bapa rakannya. Saya tak sangka ini yang terjadi.

“Sebelum dia pergi, tidak ada nampak perubahan pada dirinya. Dia juga mendengar kata, kalau saya tak benarkan, dia akan patuh,” katanya sambil memberitahu arwah tidak pandai berenang. 

Jenazah arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai esok setelah selesai bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya