PORT DICKSON: Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersedia untuk berhadapan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sekiranya beliau dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.
Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin itu malah berkata, tiada apa yang rugi buat dirinya untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang, kerana beliau telah pun memulakan gerak kerja untuk memperjuangkan keperluan golongan anak-anak istimewa di situ seperti yang menjadi hasratnya sebelum ini.
“Saya sudah melangkah masuk di sini, kalah menang itu bukan saya mahu tentukan, saya selalu berpegang bahawa sebagai manusia, saya boleh merancang tetapi yang menentukan adalah Allah SWT. Kalau dikatakan saya menang, menanglah saya di sini, kalau kalah saya mahu buat macam mana tetapi yang penting adalah usaha dan komitmen saya kepada masyarakat.
“Perjuangan saya di sini, akan saya teruskan dan saya tidak boleh tinggal begitu, kerana apa yang saya buat ini bukan atas parti tetapi atas dasar perjuangan untuk anak-anak istimewa. Kalah orang sudah nampak tetapi menang nanti siapa yang tahu?
“Sama ada bersedia ataupun tidak, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami sentiasa bersedia, untuk berkhidmat kepada komuniti tentu saya juga sentiasa bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Makan Tengah Hari dan Ramah Mesra Komuniti Hab Pendidikan Khas Dr. Ahmad Idham, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR sebagai calon PH bagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sembilan memaklumkan, Ahmad Idham hampir pasti menjadi calon mewakili GTA di Parlimen Port Dickson pada PRU15.
Sementara itu, mengulas mengenai beberapa pandangan supaya beliau lebih baik menumpukan bidang lakonan dan seni berbanding menceburi dunia politik, Ahmad Idham menjelaskan dia tidak membawa agenda ‘anak seni’ dalam penglibatannya itu.
“Saya ingin juga membawa mesej bahawa anak seni boleh memberikan khidmat kepada masyarakat, sebab itu saya bawa produk sekolah anak pendidikan khas ini. Anak seni juga punya tanggungjawab kepada masyarakat, tidak hanya bercakap mengenai industri seni,” katanya. – UTUSAN