Agong, Permaisuri lakukan kunjungan hormat Raja Charles III

Agong, Permaisuri lakukan kunjungan hormat Raja Charles III

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III, di Istana Buckingham, London semalam. -IHSAN FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja United Kingdom (UK), Raja Charles III, di Istana Buckingham, London semalam.

Menurut Istana Negara, kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London yang bermula 10 Oktober lepas sehingga 16 Oktober ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Raja Charles berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua pada sesi kunjungan hormat itu yang berlangsung selama 40 minit.

“Raja Charles III dan Seri Paduka turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan UK termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Stesen Janakuasa Battersea yang merupakan sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, yang akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda selepas sesi kunjungan hormat itu.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka dengan Raja Charles III. Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini, yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan 65 tahun lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua pada 9 Oktober lalu berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas ke UK selama tujuh hari.

Selain melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III, Seri Paduka berdua dijadual berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea.

Stesen janakuasa berkeluasan 16.99 hektar itu adalah projek hartanah melibatkan usaha sama Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya