KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Sambutan Maulidur Rasul adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia.
Sambutan itu bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah.
Mengambil kira negara Malaysia kini telah memasuki fasa endemik, maka Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 telah bersetuju agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal.
Walau bagaimanapun, acara perarakan, yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun, tidak diadakan pada tahun ini.
Tema sambutan pada tahun ini ialah Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’. Tema ini sangat relevan dan bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteriz
Seperti kelaziman, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, akan diadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak.
Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara. –UTUSAN