SUBANG JAYA: Sempena ulang tahun ke-38 penubuhannya, Adabi memperkenalkan empat produk baharu yang bakal menemui pelanggan tidak lama lagi.
Penolong Pengurus Jenama dan Promosi Adabi, Mohd. Kamarul Ariffin berkata, lebih 38 jenis produk dibawakan dengan tawaran harga istimewa sempena 38 tahun Adabi, bukan sahaja di Pasaraya Mydin tetapi di Pasaraya Aeon Big juga.
Katanya, antara produk baharu yang bakal dipasarkan dua bulan dari sekarang adalah Perencah Masak Lemak Cili Padi, Perencah Masak Merah, Serbuk Telur Masin Keemasan dan Perencah Sambal Balado Merah.
Pesta Adabi, tambahnya, kembali buat julung kalinya selepas pandemik dan ia merupakan lokasi pertama dan akan terus diadakan di pelbagai lokasi lain sepanjang tahun.
“Saya bersyukur produk Adabi masih menjadi pilihan rakyat Malaysia walaupun ramai yang terkesan dengan pelbagai cabaran ekonomi.
“Pesta itu untuk meraikan semua pengguna setia Adabi dengan memberikan tawaran promosi serta pelbagai hadiah menarik.
“Jutaan terima kasih kepada semua pengguna produk kami dan berharap anda akan terus menyokong Adabi buat selama-lamanya,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Adabi di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah pengacara televisyen, Maria Tunku Sabri, pelakon Fahrin Ahmad serta pempengaruh Adabi iaitu Leezaramzi dan Yatie Kitchen.
Mohd. Kamarul berkata, sebagai penghargaan kepada pengguna, pelbagai peraduan diadakan seperti beli dan menang (Buy & Wn), di mana pengguna membeli produk rangkaian Kari Adabi bernilai RM10 dan ke atas serta menyimpan resit tersebut untuk imbas di media sosial Adabi dan berpeluang memenangi hadiah keseluruhan melebihi RM30,000.
“Selain itu, bagi meraikan pengguna setia Adabi, peraduan kari Vaganza diadakan di mana pengguna boleh memenangi dua tiket ke Konsert Gegar Vaganza.
“Maklumat lanjut mengenai produk dan peraduan boleh melayari media sosial Facebook dan Instagram Adabi,” katanya. – UTUSAN