854 anggota MALBATT ke Lebanon

854 anggota MALBATT ke Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 854 anggota terdiri daripada 84 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) kumpulan pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) ke Lebanon membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL).

Pasukan MALBATT 850-10 turut terdiri daripada tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan (MINDEF) diketuai Kolonel Mohd Rizman Ramli selaku komander.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, anggota MALBATT 850-10 yang melaksanakan misi UNIFIL selama setahun terdiri daripada mereka yang hebat dalam pasukan pertahanan negara.

Katanya, misi MALLBATT 850-10  membuktikan kehebatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pasukan pertahanan negara, bukan hanya kisah dongeng atau rekaan semata-mata.

“Penglibatan berterusan ini bukan sahaja membuktikan ATM sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk mengatur gerak pasukan kita bagi memenuhi keperluan tugasan di luar tanah air. Malah, mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan dan kepakaran pasukan pertahanan kita dalam melaksanakan misi-misi pengaman.

“Saya bangga dengan laporan bahawa latihan-latihan yang mereka lalui di perkampungan MALBATT, Port Dickson. Semuanya berjalan dengan lancar, kesiapsiagaan dan semangat yang begitu tinggi. 

‘Jadi sama-sama kita doakan apa jua mereka terpaksa hadapi di sana dipermudah oleh Allah SWT,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-10 di Pangkalan Udara Subang, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Penghantaran pasukan pengamanan tersebut ke Lebanon dilakukan secara berperingkat sebanyak empat kali iaitu pada hari ini, 3, 10 dan 17 November ini. 

Hishammuddin berkata, penghantaran pasukan MALBATT 850-10 kali ini lebih bermakna apabila ahli keluarga dapat turut hadir menyaksikan orang tersayang berangkat menjalankan tugas untuk misi keamanan berkenaan.

“Majlis penghantaran pasukan MALBATT 850-10 kali ini juga amat istimewa. Apa tidaknya, dua tahun sebelum ini iaitu MALBATT 850-8 dan 850-9, kedua-duanya diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP)  cukup ketat termasuk tanpa kehadiran ahli keluarga masing-masing akibat penularan pandemik COVID-19. 

“Alhamdulillah, tahun ini situasinya berbeza. Suami, isteri dan ahli keluarga sudah boleh hadir untuk menghantar. Saya faham, ia menimbulkan perasaan yang bercampur-baur antara sedih, gembira, bangga dan terharu. Saya yang menghantarnya merasai perasaan  sama. 

“Namun saya yakin, kehadiran ahli keluarga boleh menjadi pembakar semangat kepada untuk melakukan yang terbaik di bumi Lebanon kelak,” katanya.

Sementara itu, Kapten Sani Singh Shabag Singh, 30, yang menyertai MALBATT 850-10 berkata, dia terkejut mendapat tahu namanya dipilih sebulan sebelum senarai nama rasmi dikeluarkan.

Katanya, ia menjadi satu peluang besar kepada anggota MALBATT 850-10 kerana boleh berlatih bersama dengan tentera negara luar dari servis berbeza dan berpeluang mengenali mereka semua kerana mungkin pada masa sama  bekerja dengan mereka.

“Saya sangat bangga boleh mewakili Malaysia berkhidmat dalam MALBATT 850-10 kerana ini memang cita-cita saya.

“Ia adalah peluang yang sangat baik, sesuatu yang baharu untuk belajar dan boleh pamerkan kemahiran masing-masing, jadi ia adalah kelebihan untuk kami,” katanya.

Anak ketujuh dari sepuluh orang adik-beradik itu juga berkata, dia tidak terlalu risau meninggalkan keluarganya kerana ada adik-beradik lain yang boleh diharapkan.

Koperal Nurul Shafiqah Md. Yasin, 28, juga  terkejut mendapat tahu namanya dipilih dalam MALBATT 850-10 kerana pada waktu itu sibuk membuat persiapan perkahwinannya.

“Nama saya dah pernah naik 2020 tapi tiada apa berlaku, jadi saya anggap macam tidak akan dipilih, tiba-tiba surat rasmi keluar cakap memang nama saya ada, “ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya