TAPAH: Seramai 624 orang tok batin dan penghulu Orang Asli di seluruh negara menerima pemberian RM1,000 secara ‘one-off’ melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM624,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan Kerajaan Keluarga Malaysia terhadap sumbangan jasa dan tenaga mereka dalam pembangunan serta adat warisan masyarakat Orang Asli.
Katanya, ia juga membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang sebahagian daripada Keluarga Malaysia.
“Kerajaan sangat menghargai peranan dan kerja keras mereka dalam memastikan pentadbiran peringkat kampung Orang Asli berjalan dengan lancar.
“Menyedari kepentingan institusi tersebut, kerajaan memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 tok batin dan penghulu di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana di perkampungan Orang Asli malah membangunkan ekonomi komuniti itu.
“Sebab itu tahun ini dalam Bajet 2023, sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan untuk membangunkan ekonomi belia dalam kalangan Orang Asli.,Bagi masyarakat Orang Asli di Tapah, kerajaan telah membuka pusat latihan kemahiran Orang Asli bagi melatih belia komuniti itu dalam pelbagai bidang,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil yang terjejas seperti diumumkan sebelum ini diagihkan bulan depan dan Disember ini.
Jelasnya, bantuan itu membabitkan peruntukan RM191 juta melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil Risda dengan kadar RM600.
“Insya-Allah, pada tahun 2023, Kerajaan Keluarga Malaysia akan menyediakan peruntukan ini dengan peningkatan kepada RM800, selain turut dipanjangkan kepada pekebun kecil di bawah Felda,” katanya. – UTUSAN