PERMATANG PAUH: Lebih separuh atau 54 daripada 85 projek aktif yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di Pulau Pinang didapati gagal mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, perkara itu dikesan susulan pemeriksaan premis dan projek termasuk yang berskala besar seperti kuari sepanjang tahun ini hingga kelmarin.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 23 kompaun dan 16 Notis Arahan iaitu di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan manakala satu penahanan operasi kelengkapan serta tujuh tindakan mahkamah telah diambil.
“Antara pelanggaran yang dikesan termasuk pemaju gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual,” katanya selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar berkaitan ‘Peranan EIA dalam Pembangunan Mampan’ di Seberang Jaya, dekat sini hari ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai alam sekitar (EO) mengenai kepentingan pematuhan syarat-syarat kelulusan EIA, mewujudkan interaksi dua hala antara jururunding EIA, pemaju projek dengan JAS negeri dan sebagainya.
Sharifah Zakiah berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 1,265 pemeriksaan penguatkuasaan telah dilakukan sepanjang tahun ini hingga kelmarin termasuk 85 premis atau projek yang tertakluk kepada EIA.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 743 pemeriksaan atau 58 peratus adalah patuh manakala selebihnya iaitu 522 pemeriksaan atau 42 peratus lagi dianggap gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Untuk tempoh yang sama juga, sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 serta 147 Notis Arahan (Seksyen 31 dan 37) telah dikeluarkan terhadap pemilik premis manakala 12 penahanan operasi kelengkapan serta 48 tindakan mahkamah turut diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah Zakiah memberitahu, jumlah punca atau premis yang sepatutnya diperiksa oleh JAS negeri berdasarkan aduan yang diterima adalah sebanyak 8,492 buah.
Bagaimanapun kata beliau, disebabkan bilangan kakitangan yang terhad, pihaknya yang mampu menjalankan kira-kira 15 peratus pemeriksaan sahaja daripada kesemua premis atau projek yang disenaraikan buat masa ini.
“JAS Pulau Pinang hanya memiliki 60 kakitangan teknikal yang ‘turun padang’ bagi menjalankan pemeriksaan terhadap setiap aduan yang diterima dan jumlah ini sememangnya tidak mencukupi,” jelasnya.
Tambah beliau, jumlah aduan khususnya berkaitan pencemaran alam sekitar yang diterima di Pulau Pinang ketika ini pula boleh dianggap antara yang tertinggi di negara ini selepas Selangor dan keadaan itu jelas menyukarkan jabatan tersebut untuk menyiasat segala aduan yang diterima secara terperinci. – UTUSAN