PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM250,000 kepada seramai 500 pelajar asnaf baharu yang terpilih dalam satu majlis, baru-baru ini.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, universiti itu sangat peka nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka.
“Pemulihan pandemik adalah fasa yang sukar bagi golongan B40 dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Oleh itu, pelan pembangunan asnaf dirancang dan dilaksanakan dengan memperkenal program AsnafXChange, AsnafPLUS dan AsnafPro.
“Kesedaran kempen sistem potongan zakat “Cukai Kepada Zakat” (C2Z) yang diperkenal sebelum ini juga telah menampakkan hasil. Kecaknaaan warga UMT dalam membantu asnaf patut mendapat pujian apabila jumlah kutipan kali ini meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
UMT menerima sejumlah 2,149 pelajar baharu bagi sesi pengambilan 2022/2023 yang terdiri daripada 646 pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan. Seramai 500 asnaf pelajar terpilih untuk menerima Dermasiswa Al-Ikhlas, bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini.
Sementara itu, seorang pelajar program Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Nurul Izzati Norlia@Zulkifli, 20, berkata, sumbangan itu amat besar nilai buat dirinya dalam meneruskan hasrat murni menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.
“Saya sangat gembira dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh UMT terutama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT. Pada awalnya, saya menolak tawaran sambung pengajian itu disebabkan faktor kewangan. Ditambah pula perlu menjaga dan menanggung dua adik yang masih bersekolah.
“Namun, setelah mendapat kunjungan daripada pihak PISM UMT, semangat untuk meneruskan perjuangan semakin berkobar-kobar apabila ditawarkan biasiswa dan saya berasakan ini peluang terbaik untuk saya mengubah nasib,” katanya yang kehilangan ibu bapanya sejak tiga tahun lalu.
Pelajar program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) yang juga penerima sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, Mohd Sharul Zakaria, 20, berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan menyifatkannya benar-benar membantu golongan sepertinya dalam penyediaan keperluan ketika pendaftaran ke kampus.
“Keadaan ayah yang mempunyai penyakit jantung dan hanya menggunakan alat bantuan menyebabkannya tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan berat bagi menampung kos pengajian saya dan lima adik beradik,” katanya. – UTUSAN