5 lagi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan - Utusan Malaysia

5 lagi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

MUSA Hassan (kiri) dan Hishamuddin Hashim (dua dari kiri) bersama lima mangsa (bertopi hitam) dan ahli keluarga mangsa di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - UTUSAN/PETAH WAZZAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai lima lagi rakyat Malaysia berusia antara 27 hingga 32 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selamat tiba di negara ini malam tadi.

Kesemua mereka yang sebelum itu mendapat perlindungan di Kedutaan Malaysia dengan dibantu Bukit Aman dan Interpol di Laos, menaiki pesawat dari Vientiane, Laos ke Bangkok, Thailand sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN adalah jalan terbaik, khususnya dalam memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi mengambil langkah serius menangani aktiviti pemerdagangan manusia.

Katanya, perkara ini perlu dipandang serius berikutan ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, pihaknya ada menghantar surat kepada Wisma Putra bagi menggesa kerajaan Myanmar membantu menyelamatkan mangsa.

“Malaysia juga boleh membangkitkan perkara ini melalui ASEAN bagi memastikan rakyat Malaysia diselamatkan dan kejadian pemerdagangan manusia dapat ditangani secara serius.

“Kami juga akan menghantar memorandum kepada PBB bagi menyelesaikan isu ini kerana ia adalah platform tertinggi di dunia,” katanya dalam sidang akhbar sempena menyambut kepulangan lima mangsa itu di KLIA.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya bersama MCCC akan ke pejabat PBB di Putrajaya, Khamis ini.

“Sikap Myanmar yang tidak serius menjadikan negara itu hab pemerdagangan manusia sedangkan Laos dan Kemboja serius menangani isu ini,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa berusia 30 tahun berkata, mereka berada di Laos sejak Mac lalu dan dijadikan sebagai ‘scammer‘ didalangi warga China.

Katanya, dia dan beberapa rakyat Malaysia hanya menerima sekali gaji sepanjang lapan bulan dan diberikan kad untuk mendapatkan makanan di kantin di sebuah bangunan.

“Kami berlima berjaya menyelamatkan diri dan dibantu penduduk tempatan sebelum diselamatkan Kedutaan Malaysia. Masih terdapat, empat lelaki warga Malaysia ditahan di bangunan sindiket itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya