PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan empat usaha proaktif dalam usaha meningkatkan misi pembudayaan dan pencapaian sukan tempatan, selaras Visi Sukan Negara (VSN) 2030.
Hala tuju serta perancangan baharu pembangunan sukan nasional bagi tempoh masa 10 tahun itu antara usahanya ialah pihak Kementerian Belia dan Sukan boleh menawarkan pemberian biasiswa dan peluang bagi melanjutkan pelajaran kepada atlet yang cemerlang dan memenangi pingat.
“Keutamaan boleh ditawarkan kepada mereka yang meraih pingat bermula daripada peringkat temasya Sukan Malaysia dan kejohanan peringkat antarabangsa diiktiraf kerajaan,” jelasnya ketika berucap ketika melancarkan VSN 2030 bersempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang dihadiri Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.
Program tahunan mula diperkenalkan sejak 2015 dan berlangsung pada Sabtu minggu kedua Oktober itu kali ini disertai seramai 4.5 juta peserta di seluruh negara melibatkan 56 program.
HSN yang merupakan agenda nasional dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan lagi sukan dalam kalangan masyarakat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan.
Malah, kementerian berkenaan turut menganjurkan Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 di Kompleks Sukan Negara sejak Khamis sehingga esok bagi menyemarakkan lagi sektor itu.
Ismail Sabri menyarankan agar bekas atlet yang berkemahiran akan dapat dipertimbangkan sebagai jurulatih pendidikan jasmani sebagai usaha pemerkasaan VSN 2030.
“Mereka ini juga boleh dilibatkan dalam segala inisiatif pencarian bakat baharu sukan di peringkat akar umbi melalui program kementerian iaitu My Talent Identification (MyTID),” kata beliau.
Usaha ketiga pula jelasnya, melibatkan semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 termasuk penyenaraian baharu bagi jenis sukan elektronik.
Sementara usaha terakhir tambahnya, ialah pihak kementerian menaik taraf fasiliti sukan untuk meningkatkan akses kemudahan dan meningkatkan penglibatan rakyat bagi kekal bergiat aktif.
VSN 2030 jelas beliau, akan sentiasa diteliti balik dari semasa ke semasa bagi memastikan kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia terus gemilang sehingga 2030.
Dokumen dasar visi itu juga berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk pihak kementerian berkenaan menerima pandangan dan semua pihak yang berkepentingan. – UTUSAN