PETALING JAYA: Empat produk sirap ubat batuk dan selsema dikilangkan di India yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia, tidak berdaftar di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu hasil semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.
“Kementerian Kesihatan menerusi NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan berkaitan kejadian ini untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin.
“Kementerian Kesihatan akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran terhadap empat produk tersebut yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals di India, yang didakwa menyebabkan kematian 66 kanak-kanak.
Menurut amaran produk perubatan yang dikeluarkan WHO, empat produk itu ialah Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan ‘kemungkinan wujud pendedahan global’. – UTUSAN