KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya janji pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri termasuk dari Sabah dan Sarawak diletakkan di dalam manifesto Barisan Nasional (BN), ia sudah pasti dilaksanakan.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, apa yang penting ketika ini adalah BN perlu menang dahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan selepas itu perkara berkenaan dibincangkan.
“Tidak tahu lagi (lantikan tiga Timbalan Perdana Menteri), biar menang dahulu. Kalau ada dalam manifesto kita, tentu kita akan pastikan ia dilaksanakan. Jadi, kita tunggu menang dahulu dan bincang tentangnya.
“Kalau terus dengan cadangan kita akan dapat nama, kalau wakil Sabah, Sabah akan bagi nama. Kalau dari Sarawak, Sarawak akan bagi nama dan kita akan bincang. Sekarang biar undi dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Perdana Menteri mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tawaran tiga Timbalan Perdana Menteri termasuk daripada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji ‘mi segera’ kumpulan terdesak mencari sokongan.
Tuan Ibrahim menyifatkan cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tiada sebarang halangan untuk Pas mengeluarkan pandangan berhubung perkara tersebut.
“Itu pandangan Pas, biar mereka dengan pandangan mereka.Kita (BN) dengan pandangan kita,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3 Papar memaklumkan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan dengan jaminan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilantik.
Sebelum itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Jelajah PH Sabah mengumumkan dua jawatan TPM membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo). – UTUSAN