LIPIS: Sejumlah 232,000 pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BMT tahun ini akan dibayar kepada pekebun kecil RM300 sebulan bagi bulan November dan Disember.
“Sekarang sudah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu sudah ada, cuma kita tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. Insya-Allah kita bayar.
“Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela, di sini hari ini.
Sementara itu, Mahdzir berkata, Program Tanam Semula Getah setakat ini sudah mencapai lebih 10,000 hektar melibatkan 7,180 pekebun kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.
Tahun ini katanya, Risda menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.
“Walaupun sektor getah berdepan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini adalah berikutan peningkatan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung Malaysia berbanding RM9,230 sebelum ini yang telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah,” katanya.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menjelaskan, pembelaan nasib penoreh getah antara agenda Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan setiap masa kementerian itu menerusi Risda akan mengkaji setiap keperluan mereka termasuk harga lantai getah.
“Kita sudah pun mengemukakan kepada kerajaan supaya dinaikkan harga lantai getah antara RM3 hingga RM3.50 antara jaminan untuk meringankan pendapatan pekebun kecil, penoreh getah dan juga pengusaha kecil komoditi ini,” katanya.
Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) Risda peringkat negeri Pahang yang berjumlah lebih RM39 juta.
Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh Risda Plantation Sdn. Bhd. kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri ini. – UTUSAN