LANGKAWI: Permohonan pas lawatan ikhtisas di bawah Program DE Rantau yang dibuka pada 1 Oktober lalu mendapat sambutan baik apabila menerima lebih 2,000 permohonan daripada warga nomad digital luar negara setakat ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, permohonan tersebut dibuka kepada warga luar negara yang bekerja secara jarak jauh dan layak menetap serta bekerja di Malaysia bagi tempoh 12 bulan bersama pasangan dan anak masing-masing.
“Sejajar dengan usaha pemulihan sektor pelancongan, pemilihan Langkawi sebagai destinasi kedua program DE Rantau adalah tepat bagi membolehkan warga nomad digital asing dan tempatan menerokai pelbagai keindahan alam semula jadi yang sarat dengan sejarah serta kisah legenda tersendiri.
“Kerajaan juga yakin dengan kehadiran nomad digital ke pusat pelancongan yang terkenal sebagai pulau bebas cukai ini menyokong peningkatan ekonomi pelbagai sektor, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara di mana kerajaan menjangkakan program ini akan menyumbang sebanyak RM4.8 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2025,” katanya.dalam sidang akhbar selepas merasmikan DE Rantau Langkawi di Dash Resort Langkawi, di sini, hari ini.
Beliau turut melancarkan aplikasi telefon pintar, DE Rantau Platform bagi memudahkan kehidupan nomad digital di Malaysia mengakses maklumat mengenai tempat penginapan tersedia-nomad dan pelbagai perkhidmatan tempatan daripada sektor pelancongan, pengangkutan, e-Dagang, e-Pembayaran, dan perkhidmatan lain.
Menurut Annuar, kementeriannya melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga telah meluluskan 113 permohonan daripada pengusaha dan peniaga tempatan untuk menjadi Hab DE Rantau di Langkawi. – UTUSAN