SEREMBAN: Seramai 1,000 orang menyertai program larian ria, Temiang-Pantai Bypass Fun Run 2022 yang diadakan di Jalan Temiang-Pantai di sini, hari ini.
Program kali pertama diadakan itu melibatkan jarak larian sejauh lima kilometer anjuran kerajaan Negeri Sembilan dan juga Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Pihak MBS memaklumkan, penganjuran larian tersebut bertujuan mempromosi Jalan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan ‘New Zealand Malaysia‘ sebagai produk pelancongan baharu di daerah ini.
“Program hari ini juga diadakan bersempena Hari Sukan Negeri Sembilan 2022 sekali gus untuk mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di negeri ini.
“Ia disertai orang ramai pelbagai peringkat umur dengan peserta paling tua berusia 88 tahun,” katanya.
Program bermula dengan aktiviti senamrobik seawal pukul 6.50 pagi sebelum acara pelepasan larian disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jalan Temiang-Pantai yang dibuka kepada pengguna jalan raya pada 26 Ogos 2021 telah menggamit kehadiran pengunjung ekoran keindahan pemandangan sepanjang jalan tersebut khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
Sudah menjadi pemandangan biasa apabila orang ramai dilihat memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan dan lorong kecemasan semata-mata tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan latar belakang menarik di jalan tersebut.
Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila tindakan segelintir pengunjung yang berkumpul beramai-ramai dan mengabaikan keselamatan diri itu dilihat membahayakan pengguna jalan raya lain sehinggakan kerap kali tular di media sosial dan mendatangkan resah orang lain.
Keadaan tersebut menyebabkan terdapat gesaan daripada pelbagai pihak yang meminta supaya dibina satu kawasan hentian khusus yang lebih selamat di jalan tersebut bagi membolehkan orang ramai menikmati pemandangan menarik kawasan itu sekali gus menjadikan ia sebagai produk pelancongan. – UTUSAN