100 saudara baharu bakal sertai kursus keusahawanan

100 saudara baharu bakal sertai kursus keusahawanan

DR. Mohd. Yusof Noor ) menandatangani plak perasmian pejabat baharu Koperasi Perkim Terengganu Berhad (Kopter), Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Seramai 100 saudara baharu akan memulakan kursus keusahawanan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, buat permulaan, kesemua mereka akan menjalani latihan itu di Institut Dakwah Islamiah milik Perkim di Kelantan.

Menurutnya, latihan keusahawanan itu adalah antara inisiatif Perkim agar saudara baharu dapat memulakan perniagaan sendiri sekali gus membuang imej kemiskinan yang sering dikaitkan dengan mereka sebaik sahaja keluar dari agama asal untuk memeluk Islam.

“Usaha ini memerlukan kerjasama erat dengan pakar-pakar yang berkaitan keusahawanan untuk mencadangkan bentuk latihan sesuai buat mereka berdasarkan minat dan kemahiran yang sesuai.

“Kita juga sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dengan Kolej Komuniti atau Pusat Giat Mara untuk menawarkan latihan keusahawanan yang sesuai seperti bidang pembuatan roti, kek dan pastri atau pertukangan.

“Projek perintis ini akan dimulakan di bandar-bandar besar dahulu dan Perkim sendiri akan membantu mereka untuk menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Koperasi Perkim Terengganu Berhad (Kopter) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Kopter, Datuk Mohd. Jafri Abd. Razak dan Pengerusi Perkim Bahagian Kuala Terengganu, Dr. Ramle Abdullah.

Ketika ini, secara purata seramai 1,000 saudara baharu mendaftar dengan Perkim setiap tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata koperasi milik Perkim itu bertujuan mewujudkan komuniti perniagaan yang boleh dipercayai berlandaskan prinsip Islam demi kesejahteraan ummah.

“Koperasi dapat menggalakkan aktiviti komersial, mewujudkan peluang pekerjaan di samping membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kerjasama antara sektor kerajaan dengan sektor swasta serta masyarakat.

“Perkim Terengganu juga bersedia untuk menawarkan perkhidmatan yang baik dan produk berkualiti melalui koperasi ini antaranya pelancongan, bidang pertanian dan industri asas tani melibatkan usahawan kecil dan sederhana (IKS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya