LIPIS: Seorang lelaki maut dan tiga cedera termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 7, Jalan Lipis–Merapoh di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa, pemandu Toyota Vios, Poon Zhong Soon, 30, yang beralamat di Kampung Sin Lik, Kangkar Bahru, Yong Peng, Johor, disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
Turut terlibat dalam kemalangan itu sebuah kereta Proton Persona dipandu Amirul Haziq Azmi, 28, bersama isterinya, Nur Afrina Salleh, 28, dan anak mereka Ardani Anaki Amirul Haziq berusia tiga tahun. Kesemua mereka cedera dan dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Zhong Soon datang dari arah Merapoh menghala ke Kuala Lipis dengan memandu seorang diri.
“Ketika sampai di tempat kejadian, Toyota Vios terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Persona dipandu Amirul Haziq bersama isteri dan anaknya untuk pulang ke rumah mereka di Felda Chegar Perah berdekatan Merapoh dari Kuala Lipis.
“Akibat pelanggaran itu, Toyota Vios terbalik dan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, bedah siasat terhadap mangsa untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas saringan Covid-19.
“Kejadian ini berlaku di kawasan laluan berselekoh, sistem jalan satu lorong satu hala dan garisan tengah putih berkembar sebagai pembahagi lorong, manakala keadaan cuaca hujan dan jalan basah serta laluan gelap tanpa lampu jalan,” katanya.
Ujarnya, dua kereta terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN