Wanita peroleh kebenaran mulakan prosiding komital terhadap bekas suami

Wanita peroleh kebenaran mulakan prosiding komital terhadap bekas suami

Peguam Gunamalar Joorindanjn (kanan) dan peguam Tony Thian Yee Chin selepas prosiding permohonan kebenaran komital oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong terhadap bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu tunggal, Loh Siew Hong memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy yang sebelum ini melarikan dan menukar agama tiga anak mereka.

Prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan  menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan. Mana-mana individu yang didakwa menghina mahkamah boleh dipenjarakan.

Hakim Evrol Mariette Peters memberikan kebenaran tersebut selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh peguam Gunamalar Joorindanjn.

Terdahulu, ketika berhujah, Gunamalar menyatakan Muhammad Nagahswaran melanggar perintah mahkamah apabila melarikan tiga anak mereka iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

“Responden (Muhammad Nagahswaran) dari awal lagi mengetahui bahawa bekas pempetisyen (Siew Hong) telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anak mereka.

“Tetapi mereka (anak-anak pasangan itu) telah diambil daripada ibu mereka tanpa kebenaran pempetisyen. Ini menunjukkan bahawa responden tidak menghormati perintah mahkamah ini,” katanya.

Selain Gunamalar, Siew Hong yang tidak hadir pada prosiding hari ini turut diwakili peguam Tony Thian Yee Chin.

Tambah peguam itu, permohonan kebanaran komital itu hanya difailkan sekarang kerana keberadaan kanak-kanak itu sebelum ini tidak diketahui.

Media sebelum ini melaporkan, Siew Hong berpisah dengan Muhammad Nagahswaran pada Mac 2019 yang mana wanita itu telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Pada 7 Julai 2019, lelaki terbabit dilaporkan melarikan tiga anaknya ketika ketiadaan bekas isteri dan menukar agama sebelum menempatkan kesemua anaknya di pusat kebajikan di Perlis.

Pada 21 Februari lalu, tiga beradik itu diserahkan dengan serta merta kepada Siew Hong selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Sementara itu, Gunamalar ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, rentetan daripada kebenaran yang diberikan oleh mahkamah, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk komital terhadap bekas suami anak guamnya.

“Selepas memfailkan permohonan tersebut, kami perlu menyerahkan permohonan itu terhadap peguam responden,”katanya.

Peguam itu turut memberitahu rayuan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun lalu yang menolak permohonan badan itu untuk menjadi pencelah dalam dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2023

Pada 7 Mac lalu, MAIPs memfailkan permohonan sebagai pencelah itu atas alasan supaya MAIPs mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga kanak-kanak berkenaan selain sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat serta bantuan lain yang dibenarkan syarak melalui ibu mereka sendiri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya