SAYA masih sangsi, adakah wangi ini menjejaki saya, atau sebaliknya saya yang memburu liuk raksi itu ke mana-mana. Sekarang, harumnya masih di bahu. Menoleh ke kiri, dia sangat mengepung. Meninjau ke seberang kanan, saya masih dipanggilnya berulang kali. Di mana-mana saja, kami mengisi ruang yang sama. Ternyata masa kami termuat dengan beberapa pertanyaan yang berapungan dalam kepulan wangi dupa. Atau setiap satunya masih mencuba mengisi dan menjawab kotak-kotak silangkata.
* * *
Riz bersama-sama saya, dan kami seperti mencabik-cabik angin musim yang menongkah jalan menuju Grafton. Saya tidak pernah akan melupakan saat lantunan al-Mulk yang tersekat-sekat antara hafalan rumpang dengan keharuan bahawa sebentar lagi kami akan berpecah. Saya akan terbang menuju jalan seterusnya, sementara Riz akan pulang semula ke Virginia, menyambung kuliah selepas cuti musim panas. Sesekali Riz memaut lengan saya yang bersarung baju tebal, dia seperti selalu tahu apa yang melingkari mata dan hati saya.
“Dia masih di sini, bukan? Mengerumuni kita?”
Saat itu saya seperti dielus-elus. Singgahannya di ubun-ubun, hujung hidung, pipi dan lengkung bibir. Lunak dan santun. Sekejap itu saya seperti berada di dalam kepulan kabut empuk. Gumpalan wangi dupa yang tabun menabun sekarang menjadi pintu yang tersibak. Ia membenarkan saya memasuki sebuah bilik. Namun bilik itu adalah lajur sebuah ruangan yang tiada sekatan. Tanpa dinding. Tanpa pagar. Tanpa atap. Tiada sengkuap. Ia sela-sela yang panjang menganjur, begitu larut hingga ke hujung jauh. Tabun wangi dupa itu yang menuntun saya untuk bertemu dengan banyak perhentian. Dia hinggap di mana-mana sudut. Dia membelah banyak penjuru tanggapan dan tafsiran. Dia juga bersama-sama kami – Riz dan saya melintasi jalan ke Grafton.
Dia ikut menyertai di lapangan terbang sebelum kami sama-sama beriringan mendapatkan tempat duduk di dalam pesawat. Ya, wangi dupa itu menyelinap juga. Saya sangat menyenangi kebersamaan kami ini. Apa yang ada di Grafton?
Saya tidak akan pernah melupakan jalan itu. Setelah turun tangga bas di hentian dari Mount Roskill, kami sengaja mengambil lorong pejalan kaki. Lebih enak jalan beriring walau dikepung angin dingin. Langit yang lapang dan kami gariskan di sana rasa syukur akan semua kecukupan. Rumput, lalang dan pohon renik yang berdiri antara ratusan jirat. Symonds Street. Rupa-rupanya entah dirancang Riz atau laluan takdir, kami menempuh sebidang padang perkuburan. Lalu kami pun bercakap soal kematian sambil mendongak, sekali lagi menyaksikan langit lepas. “Surah Pemilik Kuasa dan limpahan cahaya di sana nanti, Riz.”
Di Grafton, kami bertemu dengan pohon terbelah di Taman Salju. Ia seperti beberapa bilah tangan raksasa di luar Gua Weta Peter Jackson di Wellington. Atau ia lebih menyerupai hampir sepuluh batang leher menjalar haiwan purba tanpa memperlihatkan kepalanya. Lalu bagaimana kami mengagumi larik al-Quran tentang langit yang terbelah dan bintang-bintang jatuh bertaburan. Sepertimana sekarang kami asyik dengan ayat-ayat Pemilik Kuasa. Saya mencongak dan seperti mahu menghitung butir bintang yang tersembunyi di lapis-lapis langit siang lalu tiba-tiba bertukar sebagai serpihan hablur, berpencar menjadi haruman di piring kecil mabkhara, memasuki pintu rumah saya yang sedia ternganga.
Saya bersimpuh di hadapan meja kecil empat segi kayu nyatoh, meja yang akan saya singgah pada setiap dini dan menjelang hujung petang. Meja yang saya lapik dengan kain khas dari Riz. Katanya, kain yang dia sempat dapatkan untuk saya dalam perjalanan antara lorong-lorong mengarah ke lengkungan Masjid Biru, Istanbul.
Saya tidak pasti apakah ini satu ritual. Atau ia adalah petunjuk cinta. Setiap kali saya menyediakan bara, bermulalah bisikan-bisikan doa dan berlangsungnya permohonan demi permohonan. Saya mempunyai daftar yang panjang untuk bisikan doa dan permohonan, tambahan pula selepas korona mewabah. Banyak yang sudah tidak seperti dahulu. Banyak juga keanehan berlaku. Saya berbisik dan bermohon agar saya siap mengharunginya.
Saya terus berbisik dan bermohon mahu sangat untuk berjumpa. Maka namanya saya sitir berkali-kali. Begitulah setiap giliran percikan api dari bara yang terpasang, setiap satu namanya saya ulang. Namanya yang indah untuk disebut, berputar balik terus. Benar, ia seperti panjangnya ukuran ruang yang dibukakan wangian dupa untuk saya ini. Namanya bergulir ulang dalam masa yang panjang. Harapan saya bukan hanya untuk sejam dua ketika bara arang dan dupa saling berkawan di lekuk piring di dalam kotak mabkhara. Nama yang akan mengapung terus sejauh jalan yang tidak ada hujungnya. Nama yang wangi!
Saya rapikan beberapa cepu gaharu dengan jenis-jenisnya. Dari khanjar yang saya suka hingga kepada resi kasturi yang sering menjadi tabir hijab mimpi kami. Harum khanjar yang penuh rahsia, suka saya sebarkan dalam remang dini. Atau harum affnan yang tajam seperti mahu menghantar berita, saya pencarkan sewaktu samar senja. Resin yang membebaskan lingkaran ingatan. Benar, ingatan yang tak jarang membuat saya selalu ingin dekat dengannya. Saya mahu mengenang seluruh jalan riwayatnya. Sejak kecil hingga ke hujung usia, setiap satu menyampaikan kata hati dan saya begitu berasa teduh. Nama yang menghangatkan!
Di sisi meja harian dupa, saya bentangkan sejadah hijau. Ia sangat khas. Coraknya hijau dengan bunga merah kesumba dan kelopak cerah. Ada juga garisan tipis firus. Inilah hamparan rawdah. Riz menitipnya dari jauh, entah dari mana sewaktu dia berkelana. Setiap kali menanti-nanti azan dari surau kecil kami, saya akan bersimpuh di atasnya dengan dikerumuni resin dupa. Khanjar, affnan, anggerik malam atau kasturi mahupun kayu karas yang langka dari Tanah Haram. Kemudian saya akan jadi tenggelam antara baris-baris al-Quran. Sebenarnya semua ini membawa saya jauh melintasi pelbagai jalan, simpang dan pertanyaan, sampai saya akhirnya berdiri di pintu gadang itu. Saya menapak terus, perlahan dan rapi, itu sangat saya pastikan. Dan saya percaya di simpang jalan itulah saya pernah berjanji untuk datang lagi. Bertemu dengannya.
“Kau sebenarnya rindu, bukan?”
Mata Riz singgah lagi di atas batas perasaan yang dalam.
“Bagaimana kita tidak jatuh rindu. Kita akan rindu apabila ada cinta, Riz.”
Cinta tumbuh saat saya rasa teduhannya. Benar, ketika langit berjelaga dan semua hati bersilang jalan, maka datanglah sorotan pedoman itu. Semua yang keliru dan sangsi menyatu. Sekali lagi lapis wangi atau kadangkala ia datang menyerupai pelbagai ragam kelopak bunga. Ia sangat abstrak dan tentu saja saya mahu menebak namanya. Ia bukan mawar yang saya kenal. Ia juga bukan melur, melati, kesidang atau kemuning mahupun kenanga yang saya tahu lekuk daun dan ceritanya.
Wangi dupa kelopak aneka bunga itu memutikkan semangat perubahan dan perjuangan dalam diri. Sering juga ia mengapung menjadi sorotan cahaya yang jernih di celah celah awan kecil asap dupa. Cahaya yang menyuluh keruhnya hati yang sudah tidak dapat membeda di antara kejujuran dengan pura-pura. Culasnya mata akan garis yang lurus. Dada yang pongah dan berasa hanya dia yang menjunjung seluruh pengaruh. Ayat-ayat Pemilik Kuasa dan limpahan cahaya. Ayat-ayat Pemilik Kuasa yang mahukan kami mengerti makna rendah hati dalam merenung kekuasaan yang sebenar.
Kami berjalan menuju Grafton hampir sepuluh tahun lampau dan malang sekali baris al Mulk itu masih rumpang, masih belum melekat sepertimana resin gaharu yang selalu saya bakar sebelum menyambung baca baris al-Quran sambil menanti azan. Grafton dan perkuburan di bahu jalan Symonds. Bagaimana ia membangunkan kefahaman saya tentang pemilikan. Tidak ada yang kita punya melainkan semuanya dipinjamkan. Tidak ada yang kekal dalam kantung penguasaan itu. Semua yang ada terpecah-pecah dan terbelah-belah. Ia tidak akan pernah menyatu dan dapat tangan manusia untuk menggenggamnya. Maha Suci Dia, yang di dalam tangan-Nya segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala yang ada!
Saya tiba di sini semula setelah pernah sebelumnya saya berjanji untuk bertamu lagi. Lama dulu, bertahun lalu, pada sebuah musim Zulhijjah dan saya mengulang baca riwayat angin dinginnya. Saya baru teringat, ketika itu bukankah wangi ini yang datang menemani saya? Saat saya menapak masuk menerusi pintu gadang yang indah itu, saya segera diterpa angin dingin dengan wangian tipis yang manis. Khanjar, affnan, anggerik malam atau kasturi mahupun kayu karas yang langka.
Saya dielus dari hujung jari kaki sehingga tabunnya menyeluruhi baju labuh dan tudung landung. Saya berasa sangat dihormati dan diraikan dan jarang dapat saya rasakan seperti ini. Perasaan yang sangat khas. Apalagi ketika saya tiba di ruang hamparan hijau berbunga selerak dengan kaki yang terketar.
Ketika sujud panjang, ukupan seperti ditebarkan unggas-unggas dari syurga bersama-sama kabut wangi dupa. Atau tabun dupa sudah menjadi sayap sekawan unggas. Betapa takjubnya saya akan sayap unggas yang menebarkan seribu harum. Sayap yang sebentar direntang dan sebentar lagi dilipat dengan sangat seni dan saksama. Ia membuat saya terus melekat lama di titik itu. Benar, ia adalah hamparan yang sama dihadiahkan Riz!
Di titik itu saya tumpahkan segala soal yang bertelingkah. Saya masih tidak mengerti apabila kebenaran itu sendiri berdiri menjadi boneka sangsi. Mengapa keadilan dilihat sebagai pihak yang salah. Anehnya yang khilaf pula mengibarkan bendera kejujuran malah ia sangat dipercayai. Sekarang, kelurusan hati menjadi sesuatu yang semu. Saya tidak jarang dapat memahami dengan mudah setiap angka, aksara atau dengung bunyi yang sudah menyerupai simpulan muslihat. Ada ketikanya saya berasa dungu. Menghairankan sekali!
Wangi dupa menuntun saya. Lunak. Lirih. Di lantai beralas hamparan ragam hijau berbunga kesumba dan warna jernih pada tiap kuntumnya, hati saya mengimbas kata-kata Riz sewaktu kami melintasi tanah perkuburan di Grafton. “Rasulullah itu kecintaanku. Tidak ada yang dapat memujuk remuk hati selain daripada ingatan kepadanya. Meneduh tiap langit rusuh. Mengaman tiap ribut keruh.”
Ayat-ayat Pemilik Kuasa dalam liuk wangi dupa, menghantar saya sampai di sini. Lagi. – MINGGUAN MALAYSIA
Wangi Dupa sepanjang jalan ke Grafton
- Oleh MAWAR SAFEI
- 18 September 2022, 5:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm