Veteran ATM tuntut 4 perkara, selesai atau ke mahkamah 

Veteran ATM tuntut 4 perkara, selesai atau ke mahkamah 

SEBAHAGIAN daripada ahli PSPRM berjalan menuju ke pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum tuntutan veteran ATM di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) menuntut empat perkara asas melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibangkitkan sejak lapan tahun lalu.

Empat perkara itu adalah penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota yang dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).

Presidennya, Mejar (B) Mior Rosli Mior Jaafar berkata, pihaknya tampil menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi menunjukkan keseriusan dan sekiranya tiada tindakan kerajaan, isu berbangkit akan dibawa ke mahkamah.

“Selama ini kita lakukan secara lembut dengan berjumpa, mesyuarat, sediakan kertas kerja tetapi apa yang berlaku kerajaan bersilih ganti bertukar, dengan janji dan terus berjanji namun tiada jalan penyelesaian.

“Apa yang dituntut ini bukannya perkara yang melebih-lebih sebaliknya adalah hak veteran dari segi undang-undang yang dinafikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum PSPRM kepada wakil Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Lebih 50 ahli PSPRM hadir menyatakan sokongan kepada usaha PSPRM, malah tujuh daripada mereka berjalan dari Ipoh, Perak ke Putrajaya sejak 11 September lalu, manakala bakinya berjalan bersilih ganti sepanjang 254 kilometer.

Mengulas mengenai empat perkara yang dituntut, Mior Rosli berkata, perkara pertama adalah mengenai penyelarasan pencen yang kali terakhir diselaraskan pada 2013 berbanding mereka yang dalam perkhidmatan dinaikkan mencecah 50 peratus hingga mewujudkan jurang orang yang bersara selepas tahun 2013.

“Hidup sekarang susah, jika pencen dapat kira-kira RM400 hingga RM500 bagi sebuah keluarga, maka nak hidup macam mana.

“Pencen kami ni Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang bayar, kenapa kerajaan kata tak ada duit? Duit yang dalam KWAP semuanya adalah duit yang dipotong daripada anggota dan pegawai,” katanya.

Perkara kedua, Mior Rosli berkata, ia membabitkan syarat perkhidmatan dalam ATM yang hanya menerima pencen selepas perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.

“Merujuk kepada Akta Pencen Orang Awam 1980 melibatkan bomba, polis dan sebagainya, mereka boleh memohon untuk berhenti ketika 10 tahun dalam perkhidmatan dan dapat pencen.

“Namun, kami yang pertahankan negara, masuk dan keluar hutan, berkorban nyawa dan sebagainya akhirnya bila dah tua dibuat seperti sampah, tiada sistem yang betul untuk perjuangkan kami,” katanya.

Mior Rosli berkata, perkara ketiga, ia berkaitan dengan anggota atau pegawai ATM yang dijatuhi hukuman dan tidak akan diiktiraf sebagai veteran sedangkan orang politik pula mempunyai kelebihan berbeza.

“Jadi dia diberhentikan kerana masalah disiplin, dipinggirkan dan dibuang maka mereka tidak akan diiktiraf menjadi veteran, sekali gus kerajaan tidak akan bantu keluarganya.

“Melihat Perkara 48 dalam Perlembagaan Persekutuan, orang politik, jika bersalah dan dipenjara, selepas lima tahun dia boleh kembali dalam arena politik dan bertanding menjadi menteri tetapi veteran sehingga ke liang lahad termasuk ahli keluarga akan ‘dibuang’,” katanya.

Beliau berkata lagi, bagi perkara keempat, PHU perlu dikaji semula dan dibuat dengan bersistem berikutan saat ini terdapat 15 individu yang kini kehilangan upaya kerana cedera ketika menentang komunis.

“Sepatutnya kerajaan insurankan setiap anggota tentera dengan pampasan yang lebih lumayan, janganlah memaksa anggota tentera ini membayar sendiri insuran kelompok kerana mereka ini bertugas untuk mempertahankan negara.

“Jumlah cedera perang adalah terlalu sedikit dan jika perkara ini pun kerajaan gagal lakukan, apa lagi perkara yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya